UPSI rangkul kejuaraan International University Sailing Championship 2026

- Advertisement / Iklan -
Pasukan pelayaran UPSI bergambar kenangan sambil menunjukkan trofi dan sijil kemenangan pada Kejohanan International University Sailing Championship (UNISAIL) 2026 di Pulau Duyong, Terengganu.

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan buat julung kalinya dalam International University Sailing Championship (UNISAIL) 2026 yang berlangsung di Pulau Duyong, Terengganu.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md. Taff berkata, pasukan pelayaran UPSI mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan dengan menewaskan beberapa pasukan universiti ternama dan berpengalaman dari dalam serta luar negara untuk merangkul gelaran juara keseluruhan.

Menurut beliau, UPSI mengesahkan kejuaraan selepas mengumpul 26 mata, mengatasi pasukan tuan rumah, Malaysia University Sailing Team dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang muncul naib juara dengan 24 mata, manakala wakil Singapura, Team NUS dari National University of Singapore (NUS), menduduki tempat ketiga dengan 22 mata.

Pasukan pelayaran UPSI bergambar pada Kejohanan International University Sailing Championship (UNISAIL) 2026 di Perairan Pulau Duyong, Terengganu.

- Advertisement / Iklan -

“Kejayaan julung kali ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan dan menjadi bukti jelas bahawa atlet UPSI mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pasukan antarabangsa yang jauh lebih berpengalaman.

“Disiplin yang tinggi, percaturan strategi yang berkesan serta semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh pasukan UPSI wajar dijadikan teladan. Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama UPSI, malah membuktikan bahawa ‘Impossible Is Nothing’ apabila kita berusaha dengan gigih,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata, pasukan UPSI mempamerkan prestasi konsisten sejak peringkat kelayakan apabila muncul juara Kumpulan B dengan kutipan 14 mata, hasil memperoleh empat mata dalam perlumbaan pertama dan kedua serta tiga mata bagi perlumbaan ketiga dan keempat.

Momentum cemerlang itu diteruskan pada peringkat akhir apabila UPSI menambah kutipan mata menerusi persembahan bertenaga dengan memperoleh enam mata dalam perlumbaan pertama, lapan mata dalam perlumbaan kedua serta enam mata bagi perlumbaan ketiga dan keempat.

Pasukan pelayaran UPSI bergambar pada Kejohanan International University Sailing Championship (UNISAIL) 2026 di Perairan Pulau Duyong, Terengganu.

Dr. Md. Amin berkata, kejayaan itu membuktikan UPSI bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah berupaya melahirkan atlet yang kompetitif di pentas antarabangsa menerusi pembangunan bakat dan latihan yang berterusan.

Kejohanan antarabangsa anjuran UMT itu menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara termasuk Singapura serta Taiwan, sekali gus meletakkan UPSI sebagai antara pencabar baharu yang semakin disegani dalam arena sukan pelayaran universiti.