Daripada dompet asnaf ke ‘smart classroom’

- Advertisement / Iklan -
Pelajar Asnaf menerima sumbangan yang disampaikan Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua dari kiri). Gambar kecil: Wakaf Interactive Resource Arena (WIRA) Smart Classroom.
Peranan strategik WAZAN sebagai tunjang utama pengurusan dana kebajikan UPM

DI SEBALIK kesibukan kuliah dan makmal, namun jiwa kebajikan terus bergerak dengan penuh signifikan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Melalui Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN) UPM, jutaan ringgit dana zakat dan wakaf dikumpul serta disalurkan, bukan sekadar untuk meringankan beban pelajar, malah membina ekosistem pembelajaran yang lebih inklusif dan mampan.

Sepanjang tahun 2025, WAZAN UPM telah mencatatkan pencapaian yang amat memberangsangkan dengan jumlah kutipan keseluruhan sebanyak RM11.3 juta hasil sumbangan warga staf, komuniti, organisasi, malah termasuk sumbangan zakat daripada usahawan pelajar bimbingan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM4.9 juta dana zakat dan RM1 juta Dana Wakaf Ilmu telah berjaya diagihkan bukan sahaja untuk kebajikan pelajar dan staf, malah diperluas kepada anak syarikat, koperasi, serta komuniti setempat.

- Advertisement / Iklan -

Pengarah WAZAN, Haris Dahlan berkata, dana yang diamanahkan memainkan peranan penting bukan sahaja dalam membantu pelajar yang memerlukan, malah menyokong keseluruhan ekosistem pembangunan ilmu dan kesejahteraan warga universiti.

“WAZAN bertindak sebagai pemangkin yang menyeimbangkan keperluan kebajikan, pendidikan serta pembangunan universiti.

- Advertisement / Iklan -

“Setiap dana yang disalurkan dirancang secara teliti dan strategik agar memberi kesan menyeluruh, mampan dan berpanjangan,” katanya.

Sejak penubuhannya pada 1 Oktober 2016, WAZAN terus diperkasa berlandaskan lima prinsip utama iaitu ihsan, hikmah, adil, keseimbangan dan kecemerlangan (Al-Falah), sejajar dengan aspirasi universiti dalam melahirkan kampus yang berdaya tahan serta berjiwa empati.

Haris berkata, ini juga digerakkan untuk projek pembangunan komuniti, termasuk kerja baik pulih KAFA Mambaul Ulum di Taman Seri Sedang yang mengalami kerosakan dan Surau Al-Yaqeen, Pangsapuri PKNS, Seri Kembangan.

Bantuan bersasar, pelajar jadi keutamaan

Dalam aspek kebajikan pelajar, WAZAN menetapkan kriteria jelas bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Haris berkata, pelajar kategori fakir yang tidak mempunyai kemampuan kewangan langsung akan menerima bantuan antara RM1,000 hingga RM1,200 setiap semester, manakala bagi kategori miskin pula, bantuan disalurkan dalam lingkungan RM800 hingga RM1,000.

“Bagi mereka yang masih memerlukan walaupun telah menerima biasiswa atau tajaan lain, kami tetap membantu, terutama apabila mereka memerlukan wang segera.

“Kadang-kadang bantuan biasiswa lambat diterima, jadi sumbangan ini penting bagi meringankan beban mereka,” jelas Haris.

Selain bantuan kewangan, WAZAN turut menyediakan peralatan pembelajaran seperti komputer riba, pakaian makmal dan kasut khususnya kepada pelajar yang peralatan mereka telah rosak selepas bertahun digunakan.

Beberapa syarikat korporat termasuk Tabung Haji turut menaja pembelian komputer riba untuk pelajar UPM.

Sasaran 2026: Lebih teguh, lebih strategik

Melangkah ke tahun 2026, WAZAN menyasarkan kutipan dana zakat sebanyak RM9.5 juta, zakat korporat RM1 juta dan dana wakaf antara RM1.2 hingga RM1.5 juta.

Dana berkenaan dirancang untuk memperkukuh infrastruktur pembelajaran, termasuk menyiapkan smart classroom di lima fakulti setiap tahun dengan anggaran kos sekitar RM120,000 bagi setiap fakulti.

“Insha-ALLAH, kita akan terus menyokong pembangunan smart classroom di fakulti-fakulti seperti Komputer, Bioteknologi, Pertanian, Ekologi dan Penciptaan, bagi memastikan pembelajaran pelajar lebih interaktif dan berkesan,” ujar beliau.

Haris menegaskan, WAZAN bukan sekadar pengumpul dan pengagih zakat serta wakaf, malah berperanan sebagai wakil amil Lembaga Zakat Selangor di UPM yang menguruskan keperluan kira-kira 5,000 pelajar asnaf dan B40 di kampus.

Menurutnya, jumlah dana tahunan yang ideal bagi menampung keperluan tersebut adalah sekitar RM15 juta.

“Kami sangat berharap orang ramai dapat bersama-sama kami di WAZAN untuk membantu pelajar-pelajar ini, yang majoritinya daripada keluarga B40 dan asnaf.

"Bantuan ini bukan sahaja meringankan kos pendidikan, tetapi juga memberi peluang mereka berkembang dengan lebih baik,” tambahnya.

Dalam masa sama, UPM turut membuka ruang kepada korporat untuk menunaikan zakat melalui universiti dengan pilihan wakalah untuk diagihkan sendiri kepada asnaf pilihan, manakala baki sumbangan dijadikan dana wakaf institusi bagi pembangunan pendidikan pelajar.

Melalui pendekatan menyeluruh ini, WAZAN membuktikan bahawa zakat dan wakaf bukan sekadar angka kutipan tahunan, tetapi instrumen transformasi daripada membantu pelajar bertahan di kampus, sehinggalah membina ruang pembelajaran pintar yang memacu masa depan.