UTeM anjur Malaysia Uzbekistan Edu-Cultural Day, jana enam impak global

- Advertisement / Iklan -
Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka yang juga Canselor UTeM, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam menyempurnakan perasmian Malaysia Uzbekistan Edu-Cultural Day bertempat di Dewan Kuliah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Industri dan Pembuatan, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.

UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menganjurkan program Malaysia Uzbekistan Edu-Cultural Day yang berjaya menjana enam impak berangkai di peringkat antarabangsa.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, universiti itu terus mengorak langkah ke hadapan dalam memperkasa hubungan global melalui penganjuran program berkenaan.

Menurutnya, program itu bukan sahaja memfokuskan aspek pendidikan dan budaya, malah turut menghasilkan enam elemen impak di peringkat global.

“Elemen pertama adalah penyerlahan saintis wanita menerusi Forum Saintis Wanita yang melibatkan tenaga akademik pakar dari UTeM, beberapa universiti tempatan serta 14 universiti dari Uzbekistan antaranya Bukhara State Technical University, Tashkent State University of Oriental Studies, Tashkent University of Information Technology, Samarqand State University of Architecture and Construction, Urgench State University dan Fergana State University.

- Advertisement / Iklan -

“Elemen kedua menjadi medan suntikan ekonomi global yang menemukan kumpulan ahli perniagaan Melaka dan Uzbekistan bagi mencorak pelaburan masa hadapan.

“Elemen ketiga pula membuka ruang komunikasi langsung antara pelajar Malaysia dan Uzbekistan bersama Naib Canselor sepanjang program dua hari ini,” katanya pada Khamis.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata, dalam konteks akademia, aspek penyelidikan dan inovasi turut menjadi antara fokus utama, di samping perkongsian keunikan budaya serta kepelbagaian makanan kedua-dua negara yang melengkapkan elemen keempat hingga keenam.

Terdahulu, majlis perasmian program itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka merangkap Canselor UTeM, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Kuliah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Industri dan Pembuatan, Kampus Induk UTeM, semalam.

Turut hadir, Duta Uzbekistan ke Malaysia, Dr Karomidin Gadoev yang menyifatkan program tersebut sebagai simbol keutuhan hubungan antara Malaysia dan Uzbekistan, khususnya dalam bidang pendidikan, inovasi dan pembangunan inklusif.

Menurutnya, kerjasama antara saintis kedua-dua negara, khususnya saintis wanita, membuka peluang perkongsian kepakaran, amalan terbaik serta mendorong inovasi yang memberi manfaat bersama.

Dalam majlis sama, turut dimeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTeM dan Bukhara State Technical University, satu MoU antara Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan Fergana State University, serta satu Surat Niat antara UTeM dan Urgench State University yang dinamakan sempena Abu Rayhan Biruni.