UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pelaksanaan First Mobile Mental Health Counseling Program menerusi inisiatif ‘Counselor on Wheels’ (COW), sekali gus menjadi program kaunseling kesihatan mental bergerak pertama di negara ini.
Pengiktirafan itu disampaikan wakil MBOR, Siti Hajar Johor sempena Majlis Perasmian First Mobile Mental Health Counseling dan Sambutan Bulan Kesedaran Autisme di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, pada Rabu.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin berkata, inisiatif berkenaan merupakan langkah proaktif universiti dalam mendekati komuniti dengan membawa perkhidmatan intervensi kesihatan mental secara terus kepada masyarakat.
Menurutnya, melalui inovasi ‘Counselor on Wheels’, Bas Pendidikan UPSI ditransformasikan sebagai platform perkhidmatan kaunseling bergerak yang merangkumi aspek pencegahan, psikopendidikan, intervensi serta rujukan kepada pakar.
“Program ini membuktikan peranan universiti bukan sekadar sebagai pusat penyebaran ilmu, tetapi juga sebagai penyelesaian kepada isu masyarakat khususnya kesejahteraan mental,” katanya.
Beliau berkata, pasukan pelaksana terdiri daripada Pegawai Psikologi dan fasilitator mahasiswa terlatih dalam Psychological First Aid (PFA) berjaya menyantuni 7,648 peserta di 38 lokasi seluruh Semenanjung Malaysia.
Katanya, inisiatif itu turut diperkukuh dengan penggunaan teknologi realiti maya (VR) bagi meningkatkan keberkesanan intervensi serta mengurangkan stigma terhadap rawatan kesihatan mental.
Dalam pada itu, majlis sama turut menyemarakkan Sambutan Bulan Kesedaran Autisme sepanjang April bagi meningkatkan kefahaman dan penerimaan masyarakat terhadap individu autisme.
“Autisme perlu dilihat sebagai satu keunikan yang memerlukan sokongan dan kefahaman, bukan penghakiman. UPSI komited membina ekosistem inklusif yang memperkukuh penerimaan terhadap kepelbagaian dalam masyarakat,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr Raja Nor Safinas Raja Harun; Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Dr Mohd Izwan Shahril; Pengarah Pusat Kaunseling UPSI, Dr Pau Kee dan Pengarah Pusat Kajian Inklusif bagi Komuniti dan Orang Kurang Upaya (CIRCLE) UPSI, Dr Hasrul Hosshan.