Peserta PERISA'26 disaran daftar hak cipta, lindungi inovasi

- Advertisement / Iklan -
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim (tengah) semasa melawat reruai pameran pada majlis perasmian penutup Program Pertandingan Inovasi Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kebangsaan 2026 (PERISA’26) di Kolej Komuniti Masjid Tanah.

PESERTA Pertandingan Inovasi TVET Kebangsaan (PERISA'26) disaran mendaftarkan hak cipta atau paten hasil ciptaan mereka untuk melindungi harta intelek dan memperkukuh daya saing inovasi tempatan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap idea dan inovasi yang dibangunkan mendapat perlindungan sewajarnya selain membuka peluang untuk dikomersialkan menerusi kerjasama pihak industri.

"Kesedaran mengenai paten perlu berada pada tahap yang tinggi. Sebaik sahaja sesuatu idea dibangunkan, tindakan seterusnya ialah mendapatkan paten supaya ia menjadi harta intelek inovator.

"Ini bukan bermaksud mengehadkan penggunaannya kepada diri sendiri tetapi memastikan nilai dan daya saing inovasi itu terus dipelihara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan PERISA'26 Peringkat Kebangsaan di Kolej Komuniti Masjid Tanah pada Khamis.

- Advertisement / Iklan -

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Dr Shamsuri Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) POLYCC Ulaimi Yahya.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim (kiri) melawat reruai pameran pada majlis perasmian penutup Program Pertandingan Inovasi Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kebangsaan 2026 (PERISA’26) di Kolej Komuniti Masjid Tanah.

- Advertisement / Iklan -

Adam Adli berkata pertandingan PERISA'26 bertemakan Agentic AI in Innovation diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan inovasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) selaras dengan usaha negara memperkasakan teknologi itu.

Beliau berkata, pertandingan itu juga membuktikan peserta semakin memahami aplikasi AI dalam menyelesaikan permasalahan sebenar, antaranya menerusi pembangunan sistem mengenal pasti kepadatan penumpang rel yang berpotensi untuk dikembangkan pihak industri.

"Kita berharap peserta meneruskan usaha melindungi hasil inovasi masing-masing menerusi pendaftaran harta intelek dan menjalin kerjasama dengan industri bagi membuka peluang pengkomersialan untuk manfaat masyarakat," katanya.

PERISA'26 yang berlangsung tiga hari menyaksikan sebanyak 118 projek inovasi dipertandingkan menerusi lima kategori utama, iaitu Teknologi Kejuruteraan, Teknologi Maklumat, Sains Sosial, Perdagangan dan Hospitaliti serta Pelajar.

Pertandingan itu juga menjadi platform strategik dalam memacu transformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi pembudayaan inovasi, kreativiti serta penghasilan penyelesaian berimpak tinggi yang memenuhi keperluan industri dan menyokong agenda pembangunan negara.

Program turut menyaksikan majlis penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej Komuniti Masjid Tanah dan Prasarana Malaysia Bhd serta Surat Hasrat (LOI) bersama-sama ERL E-MAS.

Kerjasama strategik itu memberikan tumpuan kepada pembangunan kompetensi, perkongsian kepakaran dan pengukuhan jaringan industri dalam bidang teknologi dan kemahiran TVET, sekali gus memperluas peluang kolaborasi yang memberi nilai tambah kepada warga pendidik serta pelajar. - Bernama