Lebih 400 atlet bakal berkampung di UniSZA Ogos ini

- Advertisement / Iklan -

SEBANYAK 442 atlet dari 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara akan bersaing pada Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) ke-46 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bermula 6 Ogos depan.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Fadzli Adam berkata buat julung kali, pihaknya akan menjadi tuan rumah penganjuran temasya sukan dwitahunan terbesar melibatkan warga universiti awam di Malaysia itu yang melibatkan 20 acara sukan.

Beliau berkata sebanyak 128 pingat emas akan dipertandingkan sepanjang tempoh 10 hari pertandingan yang bertujuan memperkukuh hubungan, jaringan kerjasama serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan warga pendidikan tinggi negara.

"Penganjuran kali ini amat bermakna kerana pertama kali UniSZA diberi kepercayaan untuk menganjurkan SUKUM sejak ia diperkenalkan pada 1976. Sebagai tuan rumah, UniSZA telah membuat persiapan rapi bagi memastikan kejohanan berlangsung dengan lancar dan mencapai objektif ditetapkan.

- Advertisement / Iklan -

"Selain menjadi medan pertandingan, SUKUM turut berperanan sebagai platform mengerat silaturrahim serta menggalakkan pembudayaan hidup sihat dalam kalangan warga Kementerian Pendidikan Tinggi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Fadzli berkata majlis pembukaan SUKUM ke-46 dijangka dirasmikan Ketua Setiausaha KPT Datuk Aminuddin Hassim pada 8 Ogos. - Bernama

- Advertisement / Iklan -