SERAMAI 454 penuntut telah berjaya menamatkan pengajian dalam program semikonduktor Advanced Semiconductor Academy Malaysia (ASEM) yang dikendalikan oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).
Sidec melalui satu kenyataan pada Selasa memberitahu graduan itu menamatkan latihan merentas sembilan kohort yang diadakan antara Februari 2025 hingga Jun 2026, dengan 85 peratus tamat pengajian daripada Program Kecemerlangan Semikonduktor Nasional (NSEP) ASEM dan baki 15 peratus daripada Program Pertukaran Semikonduktor Global (GSEP).
"Bersama-sama, kedua-dua program ini menyediakan peserta dengan latihan teknikal khusus, peluang pembelajaran praktikal termasuk pendedahan industri, mengukuhkan kumpulan bakat mahir yang diperlukan untuk menyokong cita-cita Malaysia dalam sektor semikonduktor dan teknologi," katanya.
Mereka telah diiktiraf pada Majlis Pengijazahan dan Penghargaan Bakat Malaysia yang diadakan di Puchong.
Graduan ini terdiri daripada mahasiswa kejuruteraan, graduan baharu dan profesional bekerja, yang berjaya menamatkan latihan dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) digital, reka bentuk IC analog, perisian tegar sistem terbenam, Internet Pelbagai Perkara (IoT) terbenam dan robotik kecerdasan buatan (AI).
Menurut Sidec, graduan berkenaan datang dari pelbagai institusi pengajian tinggi antaranya Universiti Teknologi MARA, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Multimedia.
NSEP merupakan program latihan reka bentuk cip intensif empat bulan yang direka bagi melengkapkan jurutera yang menganggur dan tidak bekerja, graduan baru dan profesional bekerja dengan kemahiran semikonduktor sedia industri.
Program ini menampilkan makmal praktikal, kerja kursus dalam reka bentuk dan fabrikasi IC, bimbingan daripada pakar semikonduktor, ia ditaja sepenuhnya, meliputi bahan pembelajaran, yuran latihan serta makanan.
Di samping itu, GSEP melengkapkan usaha latihan kebangsaan ini dengan membolehkan peserta mendalami kepakaran semikonduktor melalui latihan khusus dan pendedahan industri antarabangsa.
Program selama sebulan itu dijalankan dengan kerjasama institusi rakan kongsi dan pakar-pakar antarabangsa, ia menawarkan dua trek khusus iaitu reka bentuk serta susun atur IC analog di Shenzhen, China, dan reka bentuk cip mikropemproses di India.
Kedua-dua program itu dijalankan dengan kerjasama Program Pembangunan K-Youth, inisiatif oleh Khazanah Nasional Bhd.
Sidec berkata acara itu turut menampilkan taklimat Arm Flexible Access (AFA) oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, memperkenalkan syarikat reka bentuk IC tempatan dan graduan kepada program itu, yang menyediakan akses awal yang menjimatkan kos kepada portfolio harta intelek (IP) semikonduktor Arm, termasuk unit pemprosesan teras, unit pemprosesan grafik, unit pemprosesan saraf dan sambungan sistem.
"Ini membolehkan syarikat meneroka, membangunkan dan mengesahkan reka bentuk cip tanpa menanggung pendahuluan dalam kos pelesenan, mengurangkan halangan kepada inovasi dan mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah reka bentuk IC serta pembangunan IP semikonduktor tempatan," katanya.
Sidec berkata taklimat itu disusuli pula oleh klinik permohonan token AFA, yang mana syarikat yang mengambil bahagian menerima panduan mengenai proses permohonan dan keperluan program.
"Megandingkan taklimat dan klinik dengan majlis pengijazahan adalah langkah yang disengajakan bagi merapatkan jurang antara latihan dan kesediaan industri.
"Untuk 454 graduan itu, ia menawarkan pandangan pertama secara langsung pada IP dan alatan reka bentuk yang mungkin mereka gunakan semasa mereka memasuki tenaga kerja, menjadikan kemahiran yang dipelajari di dalam bilik darjah kepada gambaran yang lebih jelas tentang perkara yang akan datang selepas kerja," katanya.
Sidec juga menyatakan bahawa majlis pengijazahan itu berlatarbelakangkan pertumbuhan berterusan di Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Semikonduktor Malaysia di Puchong, yang dibangunkan dan diurusnya.
Ia berkata, setakat 2026, taman itu menempatkan 18 syarikat, dengan dua lagi dijangka menyertainya.
"Dari segi bakat, taman itu telah meningkatkan sasaran bilangan jurutera kepada 450 menjelang 2026, yang dikembangkan dari asas semasa seramai 380 jurutera, dengan 140 lagi dijangka menyertainya," kata Sidec lagi. - Bernama