SERAMAI 200 pegawai dan kakitangan Politeknik Ungku Omar (PUO) menghadiri Perhimpunan Bulanan Warga PUO Bilangan 2 Tahun 2026 di Dewan Jubli Perak yang bertemakan"Memperkasa Modal Insan ke Arah Jiwa Merdeka" sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Perhimpunan anjuran bersama Jabatan Perdagangan dan Jabatan Kejuruteraan Perkapalan itu menyaksikan Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh, menyampaikan amanat bertajuk"Tegas dalam Nilai, Cemerlang dalam Tindakan" dengan menyeru warga menghayati budaya kerja T.E.G.A.S iaitu Tuntas, Efisien, Gigih, Amanah dan Sinergi sebagai pemacu kecemerlangan institusi.
Menurut beliau, kekuatan sesebuah institusi pendidikan bukan sahaja bergantung kepada kemudahan fizikal dan teknologi, malah turut dipacu oleh modal insan yang berintegriti, kompeten serta berdaya saing bagi memastikan PUO terus kekal sebagai institusi TVET yang diyakini industri dan disegani masyarakat.
Pada majlis sama, Dr. Salmi turut melancarkan Program TELAAH Politeknik Ungku Omar, inisiatif Perpustakaan Tan Sri Othman Merican yang bertujuan membudayakan amalan membaca, memupuk minat terhadap pembacaan serta melahirkan komuniti kampus yang berilmu, berfikiran kritis dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pencapaian Staf kepada warga yang mengharumkan nama PUO di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk penerima Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025 kategori Institusi Terbaik, anugerah inovasi serta PUO Digital Innovation Challenge 2026.
Selain itu, Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan (APCB) bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 turut disampaikan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan prestasi warga kerja, di samping sesi taaruf bagi menyambut pegawai serta kakitangan baharu.
Mengakhiri amanatnya, Dr. Salmi menyeru seluruh warga PUO agar terus menghayati semangat"Tegas dalam Nilai, Cemerlang dalam Tindakan" serta berganding bahu memperkukuh budaya ilmu, integriti dan kecemerlangan dalam merealisasikan aspirasi PUO sebagai peneraju pendidikan TVET negara.