PERJALANAN seorang mahasiswa tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga sejauh mana ilmu dan pengalaman diterjemahkan untuk memberi manfaat kepada orang lain.
Bagi Lailatul Akmal Awiss Juharin, pengalaman sebagai penerima bantuan asnaf ketika bergelar mahasiswa menjadi titik perubahan yang membentuk dirinya sebagai individu lebih berani, prihatin dan berjiwa pemimpin.
Kini, segala usaha dan sumbangannya diiktiraf apabila pelajar Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Siswa 2026 pada Majlis Anugerah Naib Canselor (ANC) UPM, baru-baru ini.
Anugerah tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi universiti kepada mahasiswa yang menyerlah dalam pelbagai aspek termasuk kepimpinan, akademik, kokurikulum, keusahawanan, sahsiah serta sumbangan kepada universiti dan masyarakat.
Menurut Lailatul Akmal, beliau tidak pernah menyangka akan menerima pengiktirafan berkenaan kerana percaya masih ramai mahasiswa lain yang turut memberi sumbangan besar kepada komuniti.
"Saya melihat anugerah ini bukan sekadar penghargaan kepada diri sendiri, tetapi untuk semua insan yang sentiasa menyokong perjalanan saya termasuk keluarga, pensyarah, pihak universiti, rakan-rakan serta seluruh pasukan Warung Yamal.
"Jika dahulu saya merupakan antara penerima bantuan di universiti ini, hari ini saya bersyukur kerana diberi peluang untuk kembali menyumbang kepada mahasiswa dan masyarakat," katanya.
Pengalaman tersebut menjadi inspirasi kepada beliau untuk menubuhkan Warung Yamal, sebuah inisiatif keusahawanan yang bukan sahaja menjana pendapatan, malah membuka peluang pekerjaan kepada mahasiswa serta melaksanakan pelbagai program kebajikan.
Selain menerima Anugerah Tokoh Siswa, Lailatul Akmal turut menerima Anugerah Usahawan Putra sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan pencapaiannya dalam bidang keusahawanan.
Katanya, kejayaan yang diraih hari ini hadir daripada keberanian untuk bermula, kesungguhan memperbaiki diri serta keinginan untuk memberi manfaat kepada orang sekeliling.
"Saya percaya setiap kejayaan bermula dengan langkah kecil. Apa yang penting ialah istiqamah, berani mencuba dan sentiasa mencari ruang untuk membantu orang lain," katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ir. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, penerima Anugerah Naib Canselor diharap menjadi contoh kepada mahasiswa lain untuk terus mengejar kecemerlangan dengan mengimbangi pencapaian akademik dan pembangunan sahsiah.
Menurut beliau, kejayaan tidak seharusnya menjadikan seseorang berasa tinggi diri, sebaliknya perlu disertai nilai integriti, adab dan kesediaan menerima teguran.
"Kejayaan yang dikecapi tidak wajar digunakan untuk mendabik dada. Ibarat resam padi, semakin berisi semakin tunduk. Teruslah belajar, menerima nasihat dan memperbaiki diri," katanya.
Majlis ANC UPM 2026 turut menyaksikan pengenalan Anugerah Jiwa Putra buat julung kalinya, selain mengiktiraf mahasiswa daripada pelbagai latar belakang menerusi Anugerah Inklusif Putra yang turut diterima oleh pelajar orang kelainan upaya (OKU), Nurul Hadfina Afande.