KEPAKARAN universiti bukan hanya di bilik kuliah, malah turut dimanfaatkan untuk membentuk masyarakat yang lebih lestari.
Atas komitmen itu, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) menganjurkan program Composting for a Greener Perai di SJK(T) Perai bagi memperkenalkan amalan pengkomposan kepada murid sekolah.
Melalui program tersebut, murid didedahkan dengan cara mengurus sisa organik dan menukarkannya kepada baja kompos, sekali gus memupuk kesedaran terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar sejak di bangku sekolah.
Program yang mendapat sokongan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Alam Sekitar, Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh pendidikan kelestarian alam sekitar menerusi kerjasama antara universiti, kerajaan negeri dan komuniti.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri Sundarajoo Somu yang menegaskan pendidikan alam sekitar perlu diterapkan sejak usia muda bagi melahirkan generasi yang lebih bertanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Menurut beliau, amalan pengkomposan bukan sahaja dapat mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, malah membantu membentuk komuniti yang lebih bersih, hijau dan mampan.
Sementara itu, ketua projek, ChM Dr. Gunasunderi Raju berkata, program itu memberi peluang kepada murid memahami konsep pengkomposan melalui aktiviti praktikal yang mudah diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
"Apabila murid memahami cara mengurus sisa organik dengan betul, mereka bukan sahaja memperoleh ilmu baharu, malah dapat membawa amalan itu ke rumah dan menjadi ejen perubahan dalam keluarga serta komuniti," katanya.
Beliau berharap pendedahan awal seperti ini dapat membudayakan amalan pengasingan sisa dan pengkomposan dalam kalangan generasi muda, sekali gus menyokong agenda pembangunan lestari negara.