KEJAYAAN anak MARA membuktikan peluang pendidikan mampu menjadi pemangkin kepada kecemerlangan di pentas antarabangsa.
Nur Iman Fitriyyah Ahmad Johari mencipta kejayaan membanggakan apabila menamatkan pengajian Bachelor of Science (Accounting and Finance) di University of Birmingham, United Kingdom dengan keputusan First Class Honours.
Memulakan perjalanan akademiknya di MRSM Baling sebelum melanjutkan pengajian di Kolej MARA Banting, Nur Iman Fitriyyah berkata sokongan dan peluang yang diberikan MARA menjadi antara faktor penting yang membawanya mencapai kejayaan tersebut.
Selain pencapaian akademik keseluruhan, beliau turut mencatat 85 peratus bagi Projek Tahun Akhir serta memperoleh markah tertinggi kohort iaitu 86 peratus bagi tugasan Capital Gains Tax Planning Report.
Mengimbas kembali perjalanan pengajian di luar negara, Nur Iman Fitriyyah menzahirkan penghargaan kepada MARA atas kepercayaan yang diberikan dan berazam memanfaatkan ilmu serta pengalaman yang diperoleh untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan negara.
"Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak MARA atas peluang dan kepercayaan yang diberikan untuk melanjutkan pengajian saya di University of Birmingham.
"Tanpa sokongan MARA saya tidak akan berada di tahap ini. Insya-Allah segala ilmu dan pengalaman yang saya peroleh sepanjang pengajian akan saya manfaatkan sebaik mungkin untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan negara," katanya.
Sumber: Majlis Amanah Rakyat