AUKU, Akta 605 pandu kebebasan akademik, bukan sekat suara

- Advertisement / Iklan -

AKTA Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 atau Akta 605 bukan bertujuan menyekat kebebasan ahli akademik bersuara, sebaliknya menjadi kerangka tadbir urus bagi memastikan pandangan disampaikan secara bertanggungjawab.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, tanggapan dua akta itu menghalang kebebasan akademik tidak tepat kerana golongan itu masih mempunyai ruang luas untuk mengemukakan teguran, idea dan pandangan bagi memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara.

"AUKU dan Akta 605 diwujudkan bukan untuk menghalang kebebasan bersuara tetapi bagi memastikan pandangan disampaikan secara berhemah, melalui saluran yang sesuai dan memberi manfaat kepada pembangunan institusi.

"Namun, setiap pandangan perlu disampaikan secara profesional, beretika dan konstruktif supaya usaha penambahbaikan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan kepentingan institusi serta reputasi negara," katanya.

- Advertisement / Iklan -

Mohammad Shatar berkata, demikian dalam kenyataan bagi mengulas artikel Minda Pembaca bertajuk"Rombak sistem sekat keberanian bersuara ahli akademia" yang disiarkan sebuah media tempatan baru-baru ini.

Beliau berkata, setiap organisasi memerlukan dasar dan garis panduan yang jelas bagi memastikan tanggungjawab dapat dilaksanakan secara teratur serta mencapai matlamat penubuhannya.

- Advertisement / Iklan -

Selain itu, beliau berkata, AUKU dan Akta 605 yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut memastikan perjalanan institusi pengajian tinggi berjalan lancar tanpa menjejaskan ruang kepada ahli akademik untuk mengemukakan idea, pandangan dan cadangan.

"Kebebasan bersuara tidak bermaksud kebebasan tanpa batas. Setiap kebebasan datang bersama-sama tanggungjawab dan prinsip itu turut terpakai dalam pengurusan institusi pendidikan tinggi," katanya.

Dalam masa sama, Mohammad Shatar berkata Malaysia sedang memperkukuh kedudukannya sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa melalui usaha menarik lebih ramai pelajar luar negara melanjutkan pengajian di negara ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata komuniti akademik perlu memainkan peranan sebagai duta pendidikan tinggi negara dengan mengetengahkan kekuatan, pencapaian dan keunikan institusi tempatan kepada masyarakat global.

Mohammad Shatar berkata, walaupun sistem pendidikan tinggi negara masih mempunyai ruang untuk diperkasakan, pelbagai pencapaian yang diraih institusi tempatan perlu diketengahkan bagi meningkatkan keyakinan masyarakat global terhadap kualiti pendidikan tinggi Malaysia.

"Warga akademik perlu mencontohi mata lebah yang sentiasa mencari manisan untuk menghasilkan madu yang memberikan manfaat berbanding mata lalat yang hanya tertumpu kepada sesuatu yang busuk walaupun dikelilingi pelbagai benda bermanfaat.

"Kritikan sentiasa dialu-alukan, namun biarlah membina dan bertanggungjawab yang akhirnya mengangkat martabat pendidikan tinggi negara, bukan menjejaskannya," katanya. - Bernama