Bukan satu, tapi tiga! PUO sapu bersih podium BIM Challenge 2026

- Advertisement / Iklan -
Adam Buqhary, Ameirul Hadi dan Alya Adleena menghadiahkan kejayaan berganda kepada PUO apabila menguasai tiga kedudukan teratas pertandingan BIM peringkat kebangsaan.

KALAU sebut Building Information Modelling (BIM), mungkin ramai membayangkan teknologi pembinaan masa depan. Namun bagi tiga pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO), teknologi itulah yang membawa mereka berdiri megah di atas podium.

PUO dalam kenyataan berkata, pada pertandingan akhir BIM Challenge 2026 yang berlangsung di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun, PUO mencipta sejarah apabila menyapu bersih tiga kedudukan teratas bagi Kategori Architectural BIM (Architecture Students).

Gelaran juara menjadi milik Adam Buqhary Yusof, diikuti Ameirul Hadi Shamsul Bahri di tempat kedua dan Alya Adleena Remlan di tempat ketiga.

Lebih membanggakan, PUO turut membawa pulang Anugerah Saguhati bagi Kategori Architectural BIM serta Architectural BIM for Quantification, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara institusi TVET yang cemerlang dalam bidang teknologi pembinaan.

- Advertisement / Iklan -

Sementara itu, Pengarah PUO, Dr Salmi Che Meh berkata, pencapaian tersebut membuktikan pelajar TVET bukan sahaja mampu menguasai kemahiran teknikal, malah bersedia menghadapi keperluan industri pembinaan yang kini semakin beralih kepada teknologi digital.

"Kejayaan pelajar PUO menguasai podium BIM Challenge 2026 bukan sekadar kemenangan dalam pertandingan, malah membuktikan graduan TVET kita mempunyai kompetensi yang diperlukan untuk mendepani transformasi pendigitalan industri pembinaan.

- Advertisement / Iklan -

"Ia juga hasil komitmen tinggi pelajar serta bimbingan berterusan pensyarah yang sentiasa memastikan pembelajaran selari dengan keperluan industri semasa," katanya.

Pertandingan anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan kerjasama Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia) itu menghimpunkan 197 peserta daripada institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, hanya 89 peserta berjaya melangkah ke peringkat akhir untuk bersaing dalam beberapa kategori yang menguji kemahiran penggunaan teknologi BIM.

Majlis penutupan pertandingan disempurnakan oleh Pengarah Kanan (Akademik) JPPKK, Dr Mohd Daud Isa.

Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama PUO, malah menjadi bukti bahawa pendidikan TVET terus melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan industri pembinaan digital yang semakin berkembang.