BEKAS pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan melakar kisah luar biasa apabila berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Kursk State Medical University pada usia hanya 17 tahun.
Iskandar Warid Mohd Nazrul Izad menerima tawaran ke universiti perubatan awam terkemuka di Rusia itu selepas memohon menggunakan keputusan percubaan peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE UK) yang didudukinya tahun lalu.
Iskandar Warid berkata, dia berjanji akan memanfaatkan peluang keemasan tersebut sebaik mungkin.
“Insya-ALLAH, saya akan belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita menjadi doktor pakar kanser suatu hari nanti.
“Saya sendiri terkesan apabila datuk kesayangan meninggal dunia akibat kanser paru-paru. Dari situlah timbul hasrat untuk menjadi pakar kanser,” katanya.
Remaja berusia 17 tahun itu turut menyimpan impian besar untuk menjalankan kajian bagi mencari kaedah rawatan kanser yang lebih berkesan dan mampu milik, agar lebih ramai pesakit mendapat peluang rawatan yang lebih baik pada masa depan.
Sementara itu, bapanya, Datuk Seri Mohd Nazrul Izad Mohd Arsad berkata, kejayaan anak keempatnya itu cukup membanggakan memandangkan dia melangkah ke luar negara pada usia yang begitu muda.
“Ketika rakan seusianya sedang bertungkus-lumus menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia sudah pun memulakan langkah sebagai mahasiswa di universiti luar negara,” katanya.
Menurut beliau, potensi Iskandar sudah dapat dilihat sejak di bangku sekolah rendah lagi. Sepanjang berada di MRSM, pelbagai anugerah kecemerlangan berjaya diraih.
“Siapa sangka anak Beserah ini mampu terbang jauh mengejar cita-cita menjadi doktor dan ahli politik suatu hari nanti.
“Tempoh pengajian perubatannya mengambil masa tujuh tahun. Selepas itu, dia boleh memilih untuk menjalani latihan kedoktoran sama ada di hospital luar negara atau kembali berkhidmat di negara ini,” ujarnya.