Mahasiswa UUM turun padang bantu Komuniti Temuan

- Advertisement / Iklan -
Program SERUMPUN jadi medan mahasiswa kongsi ilmu literasi tenaga dan keselamatan kebakaran bersama penduduk Kampung Orang Asli Bukit Tadom

LEBIH 250 peserta menghadiri Program SERUMPUN: Mahasiswa UUM Bersama Komuniti Temuan di Dewan Kampung Orang Asli Bukit Tadom, sekali gus memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, sektor korporat dan komuniti dalam usaha memperkasakan masyarakat Orang Asli melalui pendidikan, keselamatan dan pembangunan sosial.

Program anjuran pelajar Kursus Pembangunan Masyarakat IV (VKMB2041), Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM) itu bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti mengenai penggunaan tenaga secara cekap menerusi sesi Literasi Tenaga, di samping memupuk kesedaran terhadap amalan keselamatan serta langkah-langkah pencegahan kebakaran.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Hadi Anak Jembik. Turut hadir Pensyarah Kursus VKMB2041, Zulhairi Zakariah yang mewakili Pengarah PACE UUM, serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Bukit Tadom, Soeb Miah.

Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

- Advertisement / Iklan -

Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai pengisian termasuk sesi Literasi Tenaga, demonstrasi penggunaan alat pemadam api, pameran keselamatan kebakaran, aktiviti interaktif bersama komuniti serta penyampaian sumbangan barangan keperluan harian kepada penduduk Kampung Orang Asli Bukit Tadom.

- Advertisement / Iklan -

Pengarah Program, Mohd Khairulnizam Zainodin berkata, Program SERUMPUN bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti Temuan, malah menjadi platform kepada mahasiswa mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di universiti serta memupuk nilai kepimpinan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.

Beliau berkata, program itu diharap dapat meningkatkan kesedaran komuniti terhadap penggunaan tenaga secara cekap melalui amalan Literasi Tenaga serta langkah-langkah pencegahan kebakaran.

"Pada masa sama, program ini menjadi platform pembelajaran yang amat berharga kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari, di samping menghayati nilai kepimpinan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial melalui penglibatan secara langsung bersama komuniti.

"Kami juga berharap jalinan kerjasama antara Universiti Utara Malaysia, agensi kerajaan, rakan korporat dan komuniti setempat menerusi Program SERUMPUN akan terus diperkukuh bagi melahirkan lebih banyak inisiatif pembangunan komuniti yang memberi impak positif dan mampan," katanya.

Menurut beliau, Program SERUMPUN turut mencerminkan komitmen PACE UUM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki nilai kemanusiaan, kepimpinan dan tanggungjawab sosial menerusi penglibatan aktif dalam program khidmat masyarakat.

Program SERUMPUN diharap menjadi platform berterusan dalam memperkukuh kerjasama strategik antara universiti, agensi kerajaan, sektor korporat dan komuniti ke arah memperkasakan masyarakat Orang Asli serta meningkatkan kesejahteraan mereka secara menyeluruh.

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik, penaja, sukarelawan dan komuniti Kampung Orang Asli Bukit Tadom atas sokongan serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program tersebut.