Inovasi bantu murid disleksia raih gangsa di INNOSHOWCASE 2026

- Advertisement / Iklan -
Pelajar Diploma Rekabentuk Pengiklanan Digital TVETMARA Sungai Petani hasilkan e-Book Modem sebagai platform pembelajaran interaktif untuk meningkatkan kemahiran membaca murid disleksia

IDEA yang lahir daripada keprihatinan terhadap cabaran pembelajaran murid disleksia akhirnya diterjemahkan menjadi sebuah inovasi yang membanggakan apabila pelajar TVETMARA Sungai Petani berjaya membawa pulang pingat gangsa pada pertandingan INNOSHOWCASE 2026.

Kejayaan itu diraih oleh Bibi Anissumaiyah Mohamad Shibly, pelajar Semester 2 Program Diploma Rekabentuk Pengiklanan Digital (DSK), menerusi inovasi e-Book Modem (Modul Membaca Disleksia) dalam kategori institusi pengajian tinggi.

Platform pembelajaran digital itu dibangunkan bagi membantu murid disleksia meningkatkan kemahiran membaca melalui pendekatan yang lebih interaktif, sistematik dan mesra pengguna.

Menurut Bibi Anissumaiyah, projek berkenaan dihasilkan bukan sekadar memenuhi tugasan akademik, sebaliknya lahir daripada keinginan untuk menyediakan bahan pembelajaran yang lebih mudah diakses oleh murid disleksia serta membantu guru dalam proses pengajaran.

- Advertisement / Iklan -

Katanya, pembangunan e-Book Modem memberi fokus kepada tiga objektif utama, iaitu memperkenalkan peranan Persatuan Disleksia Malaysia kepada masyarakat, membantu menangani cabaran pembelajaran murid disleksia serta menyediakan bahan bantu mengajar yang lebih efektif untuk guru dan pelajar.

"Cabaran terbesar ialah memahami keperluan sebenar murid disleksia kerana setiap individu mempunyai tahap pembelajaran yang berbeza.

- Advertisement / Iklan -

"Saya juga perlu mendapatkan maklum balas daripada pengguna sasaran, selain berdepan kekangan masa dan kos bagi menghasilkan kandungan yang benar-benar mesra pengguna," katanya.

Beliau berkata, setiap elemen dalam platform tersebut dirancang dengan teliti supaya mudah difahami, menarik dan mampu meningkatkan minat murid untuk belajar membaca.

Pertandingan anjuran School of Technology, Multimedia and Logistics, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi di seluruh negara yang mempertandingkan pelbagai inovasi dalam bidang teknologi, pendidikan dan pembangunan masyarakat.

Kejayaan tersebut membuktikan pelajar TVETMARA bukan sahaja memiliki kemahiran dalam bidang reka bentuk kreatif, malah berupaya menghasilkan inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat serta menyelesaikan cabaran sebenar dalam dunia pendidikan.

Bibi Anissumaiyah berharap kejayaan tersebut menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk berani meneroka idea baharu serta menghasilkan inovasi yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat.