MPP UPSI ringankan beban mahasiswa dengan agihan 400 burger

- Advertisement / Iklan -

PRIHATIN terhadap kebajikan mahasiswa yang sedang bertungkus-lumus membuat persiapan menghadapi peperiksaan akhir, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sidang 2025/2026 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengagihkan 400 bungkus burger menerusi program Titian Kasih MPP: Ukhwah Menyantuni Insan.

Inisiatif yang berlangsung baru-baru ini menyasarkan mahasiswa yang mengulang kaji hingga lewat malam di Perpustakaan Tuanku Bainun dan Bitarasiswa, dengan agihan dilakukan dari 9 malam hingga 11 malam bagi memastikan mereka mempunyai akses kepada makanan tanpa perlu meninggalkan lokasi pembelajaran.

Selain membantu mengurangkan beban mahasiswa sepanjang musim peperiksaan, program itu turut menjadi simbol keprihatinan MPP terhadap kesejahteraan pelajar yang berdepan tekanan akademik dan peningkatan kos sara hidup.

- Advertisement / Iklan -

Yang Dipertua MPP UPSI Sidang 2025/2026, Muhammad Luqman Nurhakim berkata, inisiatif itu lahir daripada kesedaran bahawa kebajikan mahasiswa perlu sentiasa diberi perhatian, terutama ketika mereka berusaha memberikan prestasi terbaik dalam peperiksaan.

"Musim peperiksaan bukan sahaja menguji ilmu, tetapi juga ketabahan. Mungkin apa yang kami hulurkan hari ini tidak besar nilainya, namun kami berharap ia membawa mesej bahawa setiap mahasiswa di UPSI tidak pernah bersendirian.

- Advertisement / Iklan -

Selagi ada ruang untuk membantu, MPP akan terus bersama mahasiswa, bukan sahaja ketika mereka berjaya, malah ketika mereka sedang berjuang," katanya.

Program berkenaan turut mendapat sokongan Majlis Timbalan Dekan (Hal Pelajar dan Alumni) serta beberapa penyumbang luar yang bersama-sama menjayakan usaha memperkukuh jaringan kebajikan mahasiswa di universiti itu.

Penganjuran ini mencerminkan komitmen berterusan MPP UPSI dalam menterjemahkan suara mahasiswa kepada tindakan yang memberi impak secara langsung, sekali gus membudayakan persekitaran kampus yang lebih prihatin, inklusif dan mengutamakan kesejahteraan pelajar.