Mahasiswa UNITEN jayakan CSR Kampung Chendering

- Advertisement / Iklan -

SERAMAI 70 mahasiswa daripada Persatuan Pelajar Residensi Amanah Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) (PPRA) menjayakan Program Sinar Komuniti Kuantan selama tiga hari di Kampung Chendering, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Program berkonsepkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berlangsung dari 10 hingga 12 Julai itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan komuniti menerusi pelbagai aktiviti kebajikan, kerohanian, kesihatan serta pembangunan komuniti.

Antara inisiatif utama ialah pemasangan sistem solar di surau Kampung Chendering bagi meningkatkan kemudahan penduduk, selain penyerahan Bakul Pemurah kepada keluarga B40. Program turut diisi dengan sesi Bicara Rohani, pemeriksaan kesihatan, Fun Walk bersama komuniti dan perlawanan bola sepak ukhuwah yang mengeratkan hubungan antara mahasiswa serta penduduk setempat.

- Advertisement / Iklan -

Timbalan Naib Canselor (Pengalaman Pelajar dan Alumni) UNITEN Kampus Putrajaya, Profesor Madya Dr. Abdul Aziz Mat Isa berkata, program seperti itu bukan sekadar memberi manfaat kepada komuniti, malah menjadi medan pembelajaran terbaik untuk mahasiswa.

"Mahasiswa perlu didedahkan dengan pengalaman turun padang kerana di sinilah mereka mempelajari nilai kepimpinan, semangat kesukarelawanan, empati dan tanggungjawab sosial yang sukar diperoleh di dalam bilik kuliah. Kami berharap usaha seperti ini dapat diteruskan bagi memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat," katanya.

- Advertisement / Iklan -

Majlis penutup program disempurnakan Hasrul Afizan Mohd. Din yang mewakili Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Program Sinar Komuniti Kuantan mencerminkan komitmen mahasiswa UNITEN dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui pendekatan menyeluruh yang merangkumi aspek kebajikan, pendidikan, kesihatan, kerohanian dan kelestarian, sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan masyarakat setempat.