KEPRIHATINAN terhadap kebajikan pelajar terus menjadi keutamaan Politeknik Ungku Omar (PUO) apabila Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) meneruskan inisiatif Gerobok Rezeki 5.0 yang menyediakan sarapan pagi percuma kepada pelajar pada setiap hari Jumaat sepanjang semester.
Program yang memasuki edisi kelima itu dimulakan hari ini dengan pengagihan 100 pek nasi lemak kepada pelajar di dua kampus, masing-masing 70 pek di Kampus Utama, Dewan Warisan dan 30 pek di Kampus Bercham.
Inisiatif yang diasaskan sejak kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2021/2022 itu akan diteruskan sehingga Minggu Ke-14 sebagai usaha membantu pelajar, khususnya golongan yang memerlukan, selain memastikan mereka memulakan sesi pembelajaran dalam keadaan lebih selesa dan bertenaga.
Pengarah Politeknik Ungku Omar, Dr. Salmi Che Meh berkata, Gerobok Rezeki bukan sekadar program kebajikan, malah menjadi lambang budaya penyayang yang terus diperkasakan di kampus.
"PUO bukan sahaja komited melahirkan graduan TVET yang cemerlang, malah mahu memastikan kebajikan pelajar sentiasa diberi perhatian.
"Gerobok Rezeki membuktikan bahawa semangat kebersamaan dan sikap saling membantu mampu membentuk ekosistem kampus yang lebih sejahtera serta inklusif," katanya.
Beliau berkata, kejayaan program itu turut membuktikan sinergi erat antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat dalam memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara.
"Saya berharap lebih ramai pihak tampil menghulurkan sumbangan dan bekerjasama dengan PUO agar manfaat program ini dapat diperluaskan kepada lebih ramai pelajar pada masa akan datang," katanya.
Pelaksanaan Gerobok Rezeki 5.0 mendapat sokongan daripada beberapa penyumbang strategik iaitu TepiHaus Taman Cempaka, Majlis Belia Perak, Masjid Sultan Azlan Shah, Dellamar Coffee serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Program itu mencerminkan komitmen berterusan PUO dalam memperkukuh agenda kebajikan pelajar selaras dengan aspirasi Politeknik APEX, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif, inklusif dan berteraskan nilai ihsan.