PUO latih jurulatih dalaman demi kampus lebih sihat

- Advertisement / Iklan -
Program ToT lahirkan jurulatih dalaman bagi membudayakan amalan kecergasan dan kesejahteraan di kampus

MELAHIRKAN warga kerja yang sihat bukan sekadar bergantung kepada kempen kesihatan, sebaliknya memerlukan individu yang mampu menjadi contoh dan pemangkin kepada perubahan.

Atas usaha itu, seramai 35 staf Politeknik Ungku Omar (PUO) menyertai Program Training of Trainers (ToT) Kecergasan dan Kesihatan yang berlangsung di Dewan Warisan PUO.

Program anjuran Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) PUO itu bertujuan melahirkan jurulatih dalaman yang mampu membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan warga kampus menerusi latihan praktikal dan perkongsian ilmu.

Sepanjang program, peserta dibimbing oleh dua tenaga pengajar berpengalaman, KBSI Puan Jamunarani dan KBSI Ts. Dr. Ramu Velusamy, yang berkongsi teknik kecergasan, pengurusan kesihatan serta amalan gaya hidup aktif yang boleh diaplikasikan di tempat kerja dan dalam kehidupan seharian.

- Advertisement / Iklan -

Pengarah PUO, Dr Salmi Che Meh berkata, pembangunan modal insan yang berkualiti perlu disokong oleh tahap kesihatan fizikal dan mental yang baik bagi memastikan warga institusi mampu memberikan perkhidmatan terbaik.

- Advertisement / Iklan -

"Kesihatan merupakan aset paling berharga dalam membentuk organisasi yang cemerlang.

"Justeru, PUO sentiasa komited memperkasa kesejahteraan warga melalui pelbagai inisiatif yang mampu melahirkan tenaga kerja yang sihat, produktif dan berdaya saing," katanya.

Menurut beliau, pendekatan ToT memberi nilai tambah kepada peserta kerana mereka bukan sahaja memperoleh ilmu berkaitan kecergasan, malah berperanan sebagai jurulatih dalaman yang akan berkongsi pengetahuan tersebut dengan warga PUO yang lain.

"Saya berharap setiap peserta menjadi ejen perubahan yang mampu membimbing rakan sekerja mengamalkan budaya hidup sihat secara konsisten. Apabila warga kerja sihat dari segi fizikal dan mental, produktiviti organisasi juga akan meningkat.

"Ini selari dengan aspirasi PUO ke arah Politeknik APEX yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan TVET, malah unggul dalam membina ekosistem kerja yang sejahtera," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), barisan fasilitator serta semua peserta atas komitmen yang diberikan dalam menjayakan program tersebut.

Sepanjang latihan, peserta didedahkan kepada pelbagai pendekatan praktikal untuk meningkatkan kecergasan, menjaga kesihatan fizikal dan mental serta mengamalkan gaya hidup aktif yang boleh diterapkan dalam rutin harian dan persekitaran kerja.