LEBIH daripada sekadar acara larian, FBM Homecoming Run 2026 berjaya menghimpunkan alumni pelbagai generasi, pelajar, warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta komuniti setempat dalam suasana meriah di Parkir Bulatan Ilmu, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, pada Sabtu.
Program anjuran Fakulti Pengurusan Perniagaan (FBM) itu bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi platform mengeratkan hubungan alumni dengan alma mater, di samping memperluaskan jaringan kerjasama bersama rakan industri dan komuniti.
Acara tersebut menawarkan dua kategori iaitu 5 Kilometer Fun Run dan 8 Kilometer Race bagi kategori lelaki dan wanita yang terbuka kepada alumni, pelajar serta masyarakat umum.
Dekan Fakulti Pengurusan Perniagaan, Profesor Ts. Dr. Shafinar Ismail berkata, program itu merupakan antara acara utama sempena sambutan ulang tahun ke-70 penubuhan fakulti berkenaan.
Menurut beliau, penganjuran Homecoming Run memberi peluang kepada alumni daripada pelbagai generasi untuk kembali ke kampus, mengeratkan silaturahim serta membina jaringan kerjasama yang mampu memberi manfaat kepada universiti dan masyarakat.
"Acara ini berjaya menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta secara keseluruhan, menggabungkan alumni, pelajar, kakitangan, dan rakan industri di Kampus Puncak Alam dan dua cawangan UiTM iaitu Johor dan Sarawak yang turut menganjurkan program sama secara serentak.
"Kami amat berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh pelajar, alumni serta semua pihak yang menjayakan program ini," katanya.
Dalam pada itu, acara berkenaan turut mendapat sokongan daripada alumni usahawan UiTM apabila Amber Coffee tampil sebagai penaja hadiah kepada peserta dan pemenang.
Penglibatan itu mencerminkan hubungan yang terus kukuh antara alumni dan universiti, selain komitmen mereka untuk menyumbang semula kepada institusi yang menjadi titik permulaan kejayaan kerjaya masing-masing.
Shafinar berkata, selain acara larian, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti mini karnival, pameran dan jualan, sesi zumba, saringan kesihatan, cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti interaktif yang sesuai disertai seisi keluarga.
"Penganjuran FBM Homecoming Run 2026 selaras dengan aspirasi UiTM untuk memperkukuh ekosistem alumni yang aktif, memperkasa kesejahteraan komuniti serta menyokong pembangunan modal insan yang holistik dan berdaya saing.
"Ia membuktikan bahawa acara sukan bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah mampu menjadi platform yang menyatukan warga universiti, alumni dan masyarakat dalam semangat kebersamaan," katanya.
Sementara itu, pemenang tempat pertama kategori pelajar, Muhammad Farhi Mohd Ashraf dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal berkata, penyertaannya dalam FBM Homecoming Run bermula selepas mengetahui mengenai program tersebut menerusi media sosial.
Katanya, dia sememangnya meminati sukan larian dan menjadikan latihan sebagai rutin mingguan bagi mengekalkan kecergasan.
"Saya akan pastikan dalam seminggu saya akan berlari, manakala setiap bulan saya akan menyertai larian jarak jauh bagi mengekalkan stamina.
"Selain berlatih, saya juga menjaga pemakanan dengan mengurangkan makanan pedas dan berminyak," katanya.
Menurutnya, ini merupakan penyertaan larian ketiga dia dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
"Sebelum ini saya turut menyertai beberapa acara half marathon serta kejohanan sukan antara fakulti di UiTM Shah Alam.
"Kepada mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan sukan ini, jangan terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri. Mulakan secara perlahan dan nikmati prosesnya," katanya.