Ikut kawan berlatih, kini atlet 400m berpagar UPM bidik Sukan SEA 2026

- Advertisement / Iklan -
Bermula sekadar mengikut rakan ke sesi latihan, Fakhrul Afizul Nasir kini intai tempat ke Sukan SEA 2026 sambil cemerlang mengimbangi akademik dan sukan

BERMULA sekadar suka-suka mengikut rakan menyertai sesi latihan olahraga pada tahun 2017, siapa sangka minat itu kini membawa Fakhrul Afizul Nasir, 22, antara atlet 400 meter lari berpagar (400m hurdles) yang semakin menyerlah di negara ini.

Pelajar Bacelor Pendidikan (Pendidikan Jasmani), Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan itu kini bukan sahaja berjaya mencatat masa terbaik peribadi 50.73 saat, malah memasang sasaran lebih besar untuk mencatat masa 50.50 saat tahun ini.

“Kejayaan ini bermula apabila saya mengikut kawan berlatih dan menyertai kejohanan. Dari situ saya mula jatuh cinta dengan sukan olahraga dan berazam untuk terus pergi lebih jauh,” katanya.

Lebih manis, kemenangan pada Kejohanan Olahraga VTF 2 baru-baru ini hadir di luar jangkaan, membuktikan peningkatan prestasi beliau hasil disiplin latihan yang konsisten.

- Advertisement / Iklan -

“Saya sendiri terkejut dengan kemenangan itu dan ianya menjadi motivasi untuk terus memperbaiki prestasi,” katanya.

Menurut Fakhrul, ramai beranggapan acara olahraga mudah kerana hanya melibatkan larian, namun hakikatnya ia menuntut kekuatan fizikal dan mental yang tinggi.

- Advertisement / Iklan -

“Cabaran paling besar ialah memaksa diri melepasi had kemampuan, mengekalkan fokus terhadap sasaran masa dan bangkit semula apabila mengalami kecederaan,” katanya.

Sebagai atlet universiti, Fakhrul turut berdepan cabaran mengimbangi tuntutan akademik dan latihan. Baginya, pendidikan tetap menjadi keutamaan.

“Saya sentiasa mengutamakan kuliah. Jika ada kelas pada waktu pagi saya akan menjalani latihan pada sebelah petang atau malam. Saya juga sentiasa berbincang dengan jurulatih bagi menyusun jadual latihan yang sesuai,” katanya.

Beliau menjalani latihan selama dua hingga tiga jam setiap hari dengan satu sesi latihan yang memberi tumpuan kepada aspek teknikal, termasuk teknik melepasi pagar dan pendaratan bagi meningkatkan catatan masa.

Fakhrul berkata, setiap sesi latihan memerlukan disiplin tinggi dan semangat untuk menamatkan setiap latihan yang diberikan.

“Walaupun penat, saya akan pastikan saya habiskan larian. Contohnya jika jurulatih menetapkan latihan 500 meter, saya akan selesaikannya. Kepuasan itu datang apabila berjaya menghabiskan apa yang diarahkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan sentiasa mematuhi arahan jurulatihnya, Muhammad Amirul Naim Abdul Ghani, sebagai kunci perkembangan prestasinya.

Pencapaian di SUKMA 2024 antara kenangan paling bermakna

Mengimbas perjalanan kariernya, Fakhrul menyifatkan pencapaian di SUKMA 2024 sebagai antara kenangan paling bermakna kerana berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan, malah memperoleh pencapaian yang disifatkannya sebagai bonus.

Kini, beliau meletakkan sasaran untuk melayakkan diri ke Kejohanan Asia Bawah 23 tahun sebelum memburu merit ke Sukan SEA 2026.

Walaupun mengakui persaingan dalam acara 400 meter lari berpagar semakin sengit dengan kemunculan ramai atlet muda berbakat, Fakhrul melihat situasi itu sebagai pemangkin untuk terus meningkatkan prestasi.

“Saya mahu menamatkan pengajian terlebih dahulu sebelum memberi fokus sepenuhnya kepada karier olahraga. Sasaran saya adalah untuk terus bersaing sehingga usia 29 tahun,” katanya.

Mengakhiri perkongsian, Fakhrul menitipkan pesanan kepada golongan muda yang berminat dalam sukan olahraga supaya sentiasa berdisiplin dan tidak mengabaikan pelajaran.

“Fokus sangat penting. Rajin berlatih, tetapkan sasaran dan jangan mudah berputus asa. Pada masa yang sama, pastikan pelajaran juga dijaga kerana pendidikan adalah bekalan untuk masa depan,” katanya.