GANDINGAN tiga pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) membuktikan ketenangan di bawah tekanan apabila muncul juara Kejohanan Sepakan Penalti Futsal Non-Resident (NR) KICKFEST 2026 yang berlangsung di gelanggang futsal Kolej Perindu, UiTM Shah Alam, Sabtu lalu.
Pasukan pilihan utama yang dianggotai Muhammad Addin Naufal, Ahmad Atif dan Arif Aiman Hakimie menampilkan aksi konsisten sepanjang kejohanan sebelum menewaskan pencabar lain pada perlawanan akhir sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM500.
Tempat kedua pula menjadi milik gandingan Muhammad Al Harith Al Hazlan dan Raja Muhammad Shamil Raia Shabuddin yang turut terdiri daripada pelajar UiTM.
Mereka membawa pulang wang tunai RM400 selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang pertandingan.
Sebanyak 24 pasukan dari dalam dan luar UiTM menyertai kejohanan itu yang mempertandingkan format sepakan penalti secara berkumpulan sebelum pasukan terbaik mara ke peringkat separuh akhir dan akhir.
Format pertandingan tersebut bukan sahaja menguji ketepatan sepakan, malah menguji ketenangan, fokus dan ketahanan mental peserta ketika berdepan situasi bertekanan tinggi.
Pengarah Program NR KICKFEST 2026, Muhammad Amirul Afiq Mohd Saidi berkata, sambutan terhadap kejohanan itu amat menggalakkan dan membuktikan acara sepakan penalti semakin mendapat tempat dalam kalangan mahasiswa.
"Pertandingan ini amat kompetitif dengan saingan sengit sehingga ke perlawanan akhir. Acara sepakan penalti kini semakin berkembang dan mendapat sambutan yang baik daripada pelajar," katanya.
Menurut beliau, penganjuran NR KICKFEST 2026 merupakan sebahagian daripada usaha membudayakan gaya hidup sihat serta memperkasa pembangunan sahsiah mahasiswa melalui aktiviti sukan.
"Selain menggalakkan penyertaan aktif dalam sukan, program seumpama itu turut memupuk nilai kerja berpasukan, disiplin, semangat juang dan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa, selaras dengan aspirasi UiTM untuk melahirkan graduan yang seimbang dari aspek akademik, fizikal dan sahsiah," katanya.