BERINSPIRASIKAN ketepatan, kelajuan dan strategi perlumbaan Formula 1, mahasiswa Semester Empat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Pengurusan Komunikasi dan Polisi (MC248), Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam berjaya menganjurkan program Leadership Apprenticeship (LAPIS 4.0): F1uture Leaders – Drive Your Path, Own the Edge, baru-baru ini.
Pensyarah Kanan dan Penasihat Kursus Komunikasi Kepimpinan (CMP542), Mohd Nazri Ibrahim berkata, program itu dibangunkan bagi merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dengan amalan kepimpinan dalam dunia sebenar.
"Program F1uture Leaders memberi ruang kepada peserta mengalami sendiri situasi kepimpinan di luar bilik kuliah. Melalui gabungan pengisian akademik dan aktiviti praktikal, peserta dapat membina kemahiran komunikasi yang diperlukan dalam organisasi dan persekitaran profesional, sekali gus melahirkan graduan yang kompeten, berkeyakinan dan bersedia menyumbang di peringkat global," katanya.
Program itu menghimpunkan lebih 70 peserta dari empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Jerman dan Maghribi bagi memperkukuh kemahiran komunikasi, kepimpinan serta kerjasama rentas budaya dalam suasana yang menyerupai cabaran sebenar dunia profesional.
Selaras dengan tema Formula 1, peserta didedahkan kepada kepentingan membuat keputusan pantas, berfikir secara strategik dan bekerjasama dalam pasukan, sama seperti yang diamalkan oleh pasukan perlumbaan bertaraf dunia.
Program tersebut turut mendapat sokongan International Conference & Exhibition Professionals (iCEP), syarikat penganjur persidangan dan pameran yang berpengalaman dalam pembangunan platform industri tenaga dan korporat di peringkat antarabangsa.
Turut serta ialah ahli Communication and Media Club (KOMED) dan Journ Club Lendu UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah, selain pelajar pertukaran antarabangsa menerusi program UiTM Global Ambassadors. Penyertaan pelbagai latar belakang ini mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih inklusif serta menggalakkan komunikasi antara budaya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan iCEP, Mohamed Zaki Mohamed Isa, berkata, kerjasama bersama UiTM membuka peluang kepada mahasiswa memahami realiti dunia korporat serta membina keyakinan sebagai pemimpin masa depan.
Memasuki edisi keempat, LAPIS 4.0 menampilkan empat pengisian utama iaitu Full Throttle Dialogue, sesi perkongsian bersama pakar industri; Turbo Start Session, aktiviti membina semangat berpasukan; F1: The Leaders Circuit, cabaran explorace berasaskan kepimpinan; dan One-Minute Grand Prix, forum berbentuk debat yang menguji keupayaan peserta menyampaikan idea secara meyakinkan dalam tempoh singkat.