2,182 pelajar baharu daftar PUO, 3 pasang kembar dan 7 pelajar OKU curi tumpuan

- Advertisement / Iklan -
Kepelbagaian latar belakang pelajar warnai sesi kemasukan di Politeknik Ungku Omar, bukti TVET terus jadi pilihan

SERAMAI 2,182 pelajar baharu memilih Politeknik Ungku Omar (PUO) sebagai destinasi pengajian bagi Sesi I 2026/2027, sekali gus mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap kualiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan institusi berkenaan.

Pendaftaran yang berlangsung pada 20 dan 21 Jun di kampus PUO berlangsung meriah dengan kehadiran pelajar bersama ibu bapa serta penjaga dari seluruh negara.

Urusan pendaftaran turut dibantu barisan sukarelawan dan petugas bagi memastikan proses berjalan lancar.

Pengarah PUO, Dr Salmi Che Meh berkata, kemasukan lebih 2,000 pelajar baharu membuktikan kepercayaan masyarakat terhadap peranan PUO dalam melahirkan graduan TVET yang berkualiti, berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan industri.

- Advertisement / Iklan -

"Selamat datang ke PUO, Home of TVET Champions. Kami berbangga menerima kehadiran 2,182 pelajar baharu yang bakal menjadi sebahagian daripada keluarga besar PUO.

"Gunakan peluang yang ada untuk menimba ilmu, membina sahsiah serta mengembangkan potensi diri agar menjadi graduan yang berkualiti, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan," katanya.

- Advertisement / Iklan -

Bagi sesi kali ini, pelajar akan mengikuti pengajian dalam 18 program diploma dan sijil merangkumi bidang kejuruteraan, teknologi maklumat, perdagangan, kewangan, seni bina, geomatik dan perkapalan.

Kemasukan kali ini turut mencuri perhatian apabila tiga pasangan kembar dan tujuh pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) mewarnai Minggu Transformasi Siswa (MTS) PUO.

Tiga pasangan kembar yang mendaftar ialah Nur Fatin Shazana Mohd Fadzil dan Muhammad Aqil Taqiuddin Mohd Fadzil dari Manong, Perak; Varshaan Rames dan Varmhan Rames dari Taiping, Perak; serta Sharacaniswarran Balu dan Shanmugiswaran Balu dari Rawang, Selangor.

Kehadiran mereka mencerminkan kepelbagaian latar belakang pelajar yang memilih PUO sebagai destinasi pengajian, sekali gus menambah kemeriahan sesi kemasukan tahun ini.

Selain memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik, PUO turut menyediakan pelbagai platform pembangunan sahsiah, kepimpinan, kesukarelawanan, inovasi, keusahawanan dan kokurikulum bagi melahirkan graduan yang seimbang dari segi kemahiran teknikal serta insaniah.

PUO berharap semua pelajar baharu dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus dan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan sepanjang tempoh pengajian untuk menjadi graduan TVET yang kompeten serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara.