JPPKK jamin pendaftaran pelajar baharu diurus lancar

- Advertisement / Iklan -
JPPKK memperkukuh penyelarasan bersama politeknik seluruh negara bagi memastikan proses pendaftaran sesi I 2026/2027 berjalan lancar meskipun berdepan kekangan kapasiti asrama.

JABATAN Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) memberi jaminan akan memastikan proses pendaftaran pelajar baharu bagi sesi I 2026/2027 berjalan lancar meskipun timbul isu kekangan kemudahan penginapan asrama di beberapa politeknik di seluruh negara.

JPPKK dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya mengambil maklum dan prihatin terhadap isu yang dibangkitkan di media sosial berhubung kekurangan kapasiti asrama membabitkan pelajar baharu serta pelajar senior menjelang pendaftaran yang bermula pada 21 Jun ini.

Menurut kenyataan itu, peningkatan permintaan terhadap program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada pertambahan jumlah pelajar di politeknik seluruh negara.

"Situasi tersebut mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap kualiti pendidikan TVET serta kebolehpasaran graduan yang dihasilkan, namun pada masa sama menyebabkan kapasiti asrama di kebanyakan politeknik kini hampir mencapai tahap maksimum.

- Advertisement / Iklan -

"Bagi memastikan urusan penempatan pelajar berjalan lancar, JPPKK telah memperkukuh mekanisme penyelarasan bersama semua politeknik yang terlibat bagi memantau keperluan penginapan serta mengenal pasti langkah sokongan yang bersesuaian mengikut situasi semasa," kata kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, dalam masa yang sama, pihak politeknik turut mengambil langkah proaktif bagi memastikan semua pelajar yang memerlukan kemudahan penginapan mendapat penempatan yang sewajarnya.

- Advertisement / Iklan -

"Sehubungan itu, JPPKK menyeru semua pelajar yang menerima tawaran kemasukan supaya memberi tumpuan kepada persediaan memulakan pengajian, selain meminta ibu bapa agar terus memberi kepercayaan kepada pihak jabatan dan institusi dalam menangani isu yang dibangkitkan," katanya.

Sementara itu, JPPKK turut menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap pelajar mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dalam persekitaran pembelajaran yang selamat, kondusif dan inklusif, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, JPPKK di talian 03-8888 3837, 03-8888 3385, 03-8888 2120 atau 03-8888 3016.