KEGAGALAN pada penyertaan terdahulu tidak mematahkan semangat seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu, Kampus Dungun untuk terus mengejar impian apabila berjaya muncul juara pertandingan Jalen Star Chef 2.
Pelajar Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Nur Syafikah Nazurah Muhd Shaqawi membawa pulang wang tunai RM3,000, trofi dan sijil selepas menewaskan peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara pada Grand Finale Jalen Star Chef 2 yang berlangsung di UiTM Puncak Alam pada Khamis.
Nur Syafikah berkata, kemenangan itu cukup bermakna selepas pernah gagal mara ke peringkat akhir dalam penyertaan sebelum ini.
"Saya sangat gembira dan bersyukur kerana sebelum ini saya pernah menyertai pertandingan, tetapi tidak berjaya ke peringkat akhir.
"Saya cuba lagi dan Alhamdulillah kali ini berjaya menjadi juara," katanya.
Majlis penyampaian hadiah turut dihadiri Rektor UiTM Cawangan Selangor, Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman dan Dekan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM Puncak Alam, Profesor Dr. Norzuwana Sumarjan dan Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Syamil Fahim Mohamed Fahim .
Pertandingan anjuran Nu Ideaktiv dan Remaja dengan sokongan Jalen serta rakan strategik UiTM itu bertujuan mencungkil bakat baharu dalam bidang kulinari dan gastronomi.
Tempat kedua dimenangi pelajar UiTM Puncak Alam, Hazeerah Zulaikha Hasan yang membawa pulang wang tunai RM2,000, trofi dan sijil, manakala tempat ketiga menjadi milik Nor Ainun Maisarah Abdullah dari Universiti College Bestari yang menerima wang tunai RM1,000, trofi dan sijil.
Menurut Nur Syafikah, hidangan yang dipersembahkan mendapat inspirasi daripada makanan tradisional negeri kelahirannya yang diterjemahkan dalam sentuhan moden bagi menampilkan identiti warisan tempatan.
Beliau mengakui cabaran terbesar sepanjang pertandingan ialah menyiapkan hidangan pembuka selera dan hidangan utama dalam tempoh hanya dua jam.
"Tekanan memang tinggi kerana masa sangat terhad. Bagaimanapun, latihan berterusan dari pagi hingga lewat malam membantu saya lebih bersedia menghadapi pertandingan ini," katanya.
Beliau berharap pertandingan seumpama itu diteruskan kerana mampu menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat muda dalam bidang kulinari.
Pada masa sama, beliau berpesan kepada anak muda yang bercita-cita menjadi cef supaya tidak mudah berputus asa apabila berdepan kegagalan.
Sementara itu,Syamil Fahim berkata, Jalen Star Chef diwujudkan bagi mengangkat bakat muda dalam bidang kulinari dan gastronomi.
Katanya, pertandingan yang memasuki musim kedua itu tampil lebih besar dengan penyertaan daripada pelbagai IPT awam dan swasta di seluruh negara.
"Melalui Jalen Star Chef 2, kami mahu melahirkan lebih ramai bakat baharu yang mampu menjadi bintang industri kulinari negara pada masa depan.
"Pertandingan ini bukan sekadar mencari juara, tetapi memberi pengalaman dunia sebenar kepada peserta selain membuka peluang membina rangkaian industri dan mengembangkan bakat masing-masing," katanya.
Antara institusi yang menyertai pertandingan itu ialah Universiti College Bestari, Kolej Vokasional Sungai Petani 2, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS), Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah, Taylor's University serta beberapa kampus UiTM termasuk Dungun, Permatang Pauh dan Puncak Alam.