SEBELUM memulakan aksi di padang, pemain UC TATI Rhino Rugby Club terlebih dahulu turun padang menyumbang kepada komuniti menerusi aktiviti membersihkan tanah perkuburan sebagai pembuka tirai musim 2026.
Program khidmat masyarakat itu disertai pemain dan barisan pengurusan kelab sebagai usaha memupuk nilai sahsiah, jati diri serta semangat kebersamaan dalam kalangan ahli yang terdiri daripada pelajar Kolej Universiti TATI.
Selain mengeratkan hubungan sesama pemain, aktiviti tersebut turut menjadi platform memperkukuh komunikasi dalam pasukan bersempena permulaan semester baharu yang bermula pada April lalu.
Pengarah program, Ammar Ashraf berkata, aktiviti berkenaan menjadi titik permulaan yang bermakna buat kelab dan semua ahlinya.
"Ini merupakan permulaan yang baik untuk kelab dan juga semester baharu. Dalam kelab ini, kami tidak membezakan pemain berdasarkan senioriti atau latar belakang. Malah, mereka yang tidak pernah bermain ragbi juga dialu-alukan menyertai kami.
"Justeru, aktiviti seperti membersihkan tanah perkuburan dan program khidmat masyarakat lain menjadi medan terbaik untuk kami saling mengenali serta membina semangat berpasukan," katanya.
Ammar yang juga pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer Keselamatan Rangkaian berkata, program tersebut dijalankan dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kemaman sebagai rakan strategik dalam pelaksanaan aktiviti melibatkan belia dan sukarelawan.
UC TATI Rhino Rugby Club kini mempunyai seramai 45 ahli yang terdiri daripada pemain dan barisan pengurusan.
Pasukan itu kini giat membuat persiapan menghadapi Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2026 yang dijadual berlangsung di Universiti Malaya pada Ogos depan.