SEMANGAT 'Sekali Alumni, Selamanya Alumni' terus disemarakkan apabila Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melancarkan Alumni UPNM Chapter Kampus sebagai usaha memperkukuh hubungan antara universiti dan alumninya.
Majlis peluncuran yang berlangsung di Dewan Pendekar itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Kolonel Dr. Khairol Amali Ahmad sebagai simbol komitmen universiti dalam memperkasakan alumni sebagai rakan strategik pembangunan institusi.
Seramai 60 alumni UPNM yang kini berkhidmat sebagai pensyarah, pegawai dan kakitangan universiti hadir memeriahkan majlis berkenaan.
Penubuhan chapter tersebut bertujuan memperluaskan jaringan alumni, menggalakkan kolaborasi serta meningkatkan penglibatan mereka dalam pelbagai program pembangunan universiti dan mahasiswa.
Majlis itu turut memberi penghargaan kepada Alumni Fakulti yang berkhidmat dalam bidang akademik sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam melahirkan graduan berkualiti, selain menjadi sumber inspirasi kepada mahasiswa.
Program anjuran Pusat Kaunseling, Kerjaya dan Alumni (PKKA) bersama Persatuan Alumni UPNM itu selaras dengan aspirasi Alumni Back To Campus, yang menggalakkan alumni kembali menyumbang kepakaran, pengalaman dan idea kepada alma mater.
Melalui penubuhan Alumni UPNM Chapter Kampus, universiti berharap hubungan antara alumni dan institusi akan terus diperkukuh sekali gus membina budaya memberi semula kepada universiti demi kecemerlangan generasi mahasiswa pada masa hadapan.