Ini barisan di sebalik berjayanya Minggu Orientasi UPNM

- Advertisement / Iklan -
Mereka mungkin jarang menjadi perhatian, namun pengorbanan barisan fasilitator menjadi antara kunci kejayaan Minggu Perkasa Jati Diri UPNM setiap tahun

DI sebalik kelancaran Minggu Perkasa Jati Diri (MPJD) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), berdiri sekumpulan fasilitator yang menjadi tulang belakang kepada pelaksanaan program orientasi pelajar baharu.

Sepanjang MPJD bagi sesi 2026/2027 yang berlangsung dari 14 hingga 22 Jun, para fasilitator memainkan pelbagai peranan penting bagi memastikan setiap urusan melibatkan pelajar baharu berjalan lancar.

Mereka bukan sahaja menguruskan proses pendaftaran, semakan dokumen, penempatan kolej kediaman dan penyelarasan pergerakan pelajar, malah menjadi individu pertama yang membantu mahasiswa menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus.

- Advertisement / Iklan -

Sepanjang program berlangsung, fasilitator turut bertindak sebagai penghubung antara pihak universiti dan pelajar dengan memastikan setiap peserta mengikuti pelbagai aktiviti yang disusun termasuk sesi taklimat, pembangunan sahsiah, latihan kepimpinan dan program pembentukan jati diri.

- Advertisement / Iklan -

Dalam masa sama, mereka sentiasa memantau aspek kebajikan, kesihatan, keselamatan dan disiplin pelajar bagi memastikan perjalanan MPJD berlangsung dalam suasana yang selamat dan kondusif.

Barisan fasilitator juga memainkan peranan penting dalam aspek logistik dengan menyelaras penyediaan dewan, peralatan teknikal, sistem bunyi serta keperluan operasi harian supaya setiap pengisian program dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

Komitmen mereka turut terserlah ketika Majlis Bacaan Ikrar Pelajar Baharu apabila bertanggungjawab menyelaras pergerakan peserta, latihan protokol dan susunan pelajar bagi memastikan majlis berlangsung dengan lancar dan penuh tertib.

Menurut Pengarah Sekretariat Pelajar MPJD, Nik Hadif Iqbal Nik Hassan, MPJD bukan sekadar program orientasi, malah menjadi platform pembangunan kepimpinan kepada fasilitator sendiri.

Nik Hadif Iqbal

Katanya, sepanjang mengendalikan program, para fasilitator berpeluang mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengurusan krisis, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan yang amat berguna untuk pembangunan diri.

Walaupun berkhidmat secara sukarela dengan mengorbankan masa, tenaga dan komitmen peribadi, mereka terus menunjukkan semangat kesukarelawanan yang tinggi demi memastikan pelajar baharu melalui pengalaman pertama di kampus dengan lebih yakin dan selesa.

Komitmen itu menjadikan fasilitator sebagai antara individu paling penting di sebalik kejayaan MPJD, sekali gus mencerminkan nilai kepimpinan, kecemerlangan dan semangat khidmat kepada komuniti yang menjadi teras budaya UPNM.