SEBANYAK 2,250 beg darah berjaya dikumpulkan menerusi Kempen Derma Darah Perdana: UiTM Cakna yang berlangsung serentak di 21 kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) di seluruh negara sempena Hari Penderma Darah Sedunia, selain turut menjadi antara pengisian sambutan 70 Tahun UiTM tahun ini, pada Selasa.
Penganjuran kali kedua dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN) itu menjadi antara gerakan derma darah terbesar yang pernah dilaksanakan oleh institusi pengajian tinggi di Malaysia, sekali gus membuktikan komitmen berterusan UiTM dalam membantu meningkatkan bekalan darah negara.
Kempen berkenaan berjaya menghimpunkan 2,255 peserta yang terdiri daripada 1,702 pelajar, 433 staf universiti dan 120 orang awam, menunjukkan sokongan padu pelbagai lapisan masyarakat terhadap usaha memperkukuh budaya pendermaan darah.
Mewakili Naib Canselor UiTM, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UiTM, Prof. Dr. Norazah Abd Rahman berkata, kempen berkenaan bukan sekadar membantu menambah bekalan darah negara, malah menjadi platform membentuk mahasiswa yang seimbang dari aspek akademik, sahsiah dan kemanusiaan.
“Mahasiswa tidak seharusnya dibentuk di bilik kuliah sahaja, sebaliknya perlu diasuh dengan nilai kemanusiaan, keprihatinan sosial, semangat memberi dan kebersamaan. Program seperti ini menjadi medan terbaik untuk membentuk sahsiah, jati diri serta rasa tanggungjawab terhadap masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, UiTM Cakna kini berkembang menjadi gerakan kemanusiaan berskala nasional menerusi penglibatan serentak 21 kampus UiTM di seluruh negara.
“Ini membuktikan warga universiti mampu menjadi agen perubahan yang menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan komuniti,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Politik Kementerian Kesihatan Malaysia, Mohammad Faisal Ismail berkata, kempen tersebut selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 3 yang memberi penekanan kepada aspek kehidupan sihat dan kesejahteraan untuk semua.
Menurutnya, bekalan darah yang mencukupi, selamat dan berkualiti merupakan komponen penting dalam sistem kesihatan negara bagi menyokong rawatan kecemasan, pembedahan serta pelbagai prosedur perubatan lain.
“Kita perlu melahirkan komuniti penderma darah yang konsisten dan berterusan, bukan hanya ketika berdepan situasi kecemasan atau krisis. Penyertaan aktif mahasiswa dalam kempen seperti ini merupakan perkembangan yang amat positif dan membanggakan,” katanya ketika merasmikan kempen tersebut di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah 1 Pusat Darah Negara, Dr. Tun Maizura Mohd Fathullah berkata, kadar pendermaan darah di Malaysia ketika ini berada pada tahap 2.3 peratus, bersamaan 23 penderma bagi setiap 1,000 penduduk.
Katanya, Pusat Darah Negara menyasarkan peningkatan kadar pendermaan darah kepada sekurang-kurangnya tiga peratus atau 30 penderma bagi setiap 1,000 penduduk bagi memastikan bekalan darah negara kekal stabil dan mampu memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
“Peningkatan ini penting bagi menampung keperluan pesakit talasemia, kes pembedahan, wanita bersalin serta mangsa kemalangan yang memerlukan bekalan darah segera,” katanya ketika ditemui media selepas majlis berkenaan.
Beliau berkata, bekalan darah negara ketika ini masih mencukupi, namun kutipan perlu dijalankan secara berterusan berikutan permintaan yang konsisten serta jangka hayat komponen darah yang terhad.
“Platelet hanya boleh disimpan selama lima hari manakala sel darah merah mempunyai tempoh simpanan antara 35 hingga 42 hari,” jelasnya.
Tambah beliau, usaha menarik lebih ramai penderma baharu perlu diperkasakan bagi menggantikan penderma sedia ada yang bakal mencapai had umur maksimum pendermaan darah iaitu 70 tahun, selain menampung peningkatan permintaan daripada hospital kerajaan di seluruh negara.
Selain aktiviti derma darah, program berkenaan turut dimeriahkan dengan sesi bicara ilmu mengenai kepentingan pendermaan darah, pameran kesihatan, pameran informasi berkaitan derma darah serta jualan produk UiTM yang melibatkan pelbagai jabatan dan unit universiti.
Kempen itu turut mendapat sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia, Pusat Darah Negara, hospital kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menderma darah secara berterusan.