PEERS Leaders cipta kejayaan berganda di AKBP 2025

- Advertisement / Iklan -
Kelab itu bukan sahaja dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bitara Badan Pelajar Terbaik UPNM 2025, malah membawa pulang tujuh anugerah termasuk Program Terbaik Kepimpinan.

KELAB PEERS Leaders Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bitara Badan Pelajar Terbaik UPNM 2025, iaitu pengiktirafan tertinggi pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Badan Pelajar (AKBP) 2025.

Lebih membanggakan, PEERS Leaders bukan sahaja membawa pulang anugerah utama, malah meraih tujuh anugerah daripada keseluruhan kategori yang dipertandingkan. Program Global Leaderships & Well-Being Immersion Yogyakarta anjuran kelab itu turut diiktiraf sebagai Program Terbaik Kepimpinan Badan Pelajar.

Majlis berkenaan diadakan bagi mengiktiraf pencapaian badan pelajar dan mahasiswa UPNM sepanjang tahun 2025 yang berjaya mengharumkan nama universiti di peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa menerusi bidang kepimpinan, akademik, kesukarelawanan serta pembangunan sahsiah.

Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad.

- Advertisement / Iklan -

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Kolonel Profesor Dr Khairol Amali Ahmad, barisan pengurusan universiti serta penasihat badan pelajar.

Sebanyak 16 kategori anugerah melibatkan pengiktirafan individu dan badan pelajar dipertandingkan bagi menghargai kecemerlangan mahasiswa sepanjang tahun ini.

- Advertisement / Iklan -

Dalam ucapannya, Arman Rumaizi berkata, kejayaan yang dicapai mahasiswa bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum, malah membuktikan pembentukan sahsiah, kepimpinan dan jati diri yang unggul.

Menurut beliau, pencapaian mahasiswa UPNM di pelbagai platform dalam dan luar negara membuktikan universiti itu terus berjaya melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan bersedia menjadi pemimpin masa depan selaras dengan aspirasi UPNM 30.

Katanya, AKBP menjadi platform penting untuk menghargai jasa, dedikasi dan pencapaian luar biasa badan pelajar serta mahasiswa yang banyak menyumbang kepada kecemerlangan universiti.

Beliau berharap pengiktirafan yang diberikan mampu menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan serta memperkukuh budaya kecemerlangan dalam kalangan warga pelajar UPNM.