SETAHUN selepas tragedi kemalangan bas yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak, peristiwa yang meninggalkan kesan mendalam itu kini diabadikan dalam sebuah naskhah khas bertajuk UPSI Berduka.
Buku tersebut dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Diraja, Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI pada Selasa.
Menurut Zambry, penerbitan buku berkenaan bukan sekadar mendokumentasikan satu tragedi yang menyayat hati, malah menjadi penghormatan kepada mangsa dan keluarga yang terkesan.
Katanya, naskhah itu turut merakam semangat kebersamaan yang ditunjukkan pelbagai pihak ketika berdepan detik sukar berkenaan.
“Tragedi ini meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh warga pendidikan tinggi negara. Penerbitan UPSI Berduka membolehkan pengalaman dan pengajaran daripada peristiwa tersebut terus dipelihara sebagai rujukan kepada generasi akan datang.
“Lebih penting, buku ini mengangkat nilai kemanusiaan, solidariti dan keprihatinan yang dizahirkan oleh masyarakat, agensi kerajaan serta institusi pendidikan dalam menghadapi satu ujian yang amat besar,” katanya.
Buku berkenaan menghimpunkan pelbagai dokumentasi berkaitan tragedi tersebut termasuk kronologi kejadian, pengalaman pelajar yang terselamat, luahan hati waris serta kisah pengorbanan sukarelawan, anggota penyelamat dan petugas barisan hadapan yang terlibat sejak hari pertama insiden berlaku.
Turut dimuatkan dalam naskhah itu ialah dokumentasi tujuh fasa pengurusan krisis yang dilaksanakan UPSI bersama pelbagai agensi dalam menguruskan kebajikan mangsa, waris dan komuniti yang terkesan.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, penerbitan UPSI Berduka merupakan usaha universiti memastikan peristiwa yang pernah menguji ketabahan seluruh warga kampus itu terus diingati sebagai satu pengajaran yang bermakna.
“Buku ini lahir daripada rasa tanggungjawab untuk merakamkan sejarah yang berlaku dalam keluarga besar UPSI.
“Ia bukan sekadar catatan tentang kehilangan, tetapi juga kisah kekuatan, pengorbanan dan kebersamaan yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak,” katanya.
Menurut beliau, pihak universiti berharap naskhah tersebut dapat menjadi sumber rujukan kepada masyarakat khususnya dalam aspek pengurusan krisis, selain menjadi penghargaan yang berkekalan kepada mangsa, waris serta semua yang terlibat dalam usaha membantu ketika tragedi itu berlaku.