UPM lancar Planetary Health and Sustainability Blueprint sempena Bulan Sinergi Putra 2026
- Advertisement / Iklan -
UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh komitmennya terhadap agenda kelestarian apabila melancarkan UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint, satu pelan strategik yang bakal memandu pelaksanaan inisiatif berkaitan kesihatan planet dan pembangunan mampan di universiti itu.
Pelancaran blueprint tersebut menjadi antara pengisian utama Bulan Sinergi Putra 2026 yang berlangsung sepanjang Jun dengan tema Dari Kampus ke Impak Nasional dan Global: Sinergi untuk Masa Hadapan Mampan.
Blueprint berkenaan akan menjadi kerangka tindakan UPM dalam menyelaras pelbagai inisiatif melibatkan akademik, penyelidikan, inovasi dan penglibatan komuniti bagi menangani cabaran kesihatan planet serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di peringkat nasional dan global.
Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Ir Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, pelan tersebut memperincikan peranan yang boleh dimainkan universiti dalam membantu menyelesaikan pelbagai isu berkaitan kesihatan planet menerusi penggemblengan kepakaran bersama agensi kerajaan, industri dan komuniti.
- Advertisement / Iklan -
Menurut beliau, UPM memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang yang boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan penyelesaian berasaskan penyelidikan, inovasi, dasar dan penguatkuasaan.
- Advertisement / Iklan -
“Melalui UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint, universiti berhasrat memperkukuh peranan sebagai peneraju ilmu dan penyelesaian yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat serta menyumbang kepada kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan agenda kesihatan planet memerlukan komitmen semua pihak serta perubahan sikap masyarakat ke arah amalan yang lebih lestari.
“Kesihatan planet adalah tanggungjawab bersama. Sinergi antara universiti, kerajaan, industri dan masyarakat amat penting bagi memastikan kesejahteraan manusia dan alam sekitar dapat dipelihara secara berterusan,” katanya.
Menurut Ahmad Farhan, Bulan Sinergi Putra 2026 turut berfungsi sebagai platform menterjemahkan aspirasi Pelan Strategik UPM 2026-2030 kepada tindakan yang berimpak dan mampu memperkukuh budaya kolaborasi serta rasa pemilikan dalam kalangan warga universiti.
Katanya, pelaksanaan program sepanjang bulan tersebut memberi tumpuan kepada lima fokus utama universiti iaitu Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kesihatan Planet dan Kelestarian, Kesohoran Global, Kesejahteraan Warga serta Jiwa PUTRA.
Sementara itu, Bulan Sinergi Putra 2026 menjadi platform strategik UPM untuk memperkukuh pelaksanaan agenda universiti melalui penglibatan aktif seluruh warga kampus serta memupuk budaya kolaborasi, keterangkuman dan kebersamaan.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Profesor Datuk Dr Azlinda Azman berkata, program tersebut mencerminkan komitmen UPM dalam memperkukuh pelaksanaan agenda universiti secara menyeluruh.
“Saya melihat Bulan Sinergi Putra 2026 sebagai manifestasi kesungguhan UPM dalam memperkasakan ekosistem pendidikan tinggi yang responsif, progresif dan berdaya tahan selaras dengan hala tuju pendidikan tinggi negara.
“KPT sentiasa menyokong usaha institusi pendidikan tinggi yang menggalakkan sinergi rentas disiplin, memperkukuh kesejahteraan warga, memacu kecemerlangan akademik dan penyelidikan serta memperluas impak kepada komuniti,” katanya.
Sepanjang Jun, pelbagai program dan aktiviti akan dilaksanakan di peringkat universiti dan pusat tanggungjawab (PTJ) bagi meningkatkan kefahaman warga kampus terhadap agenda strategik universiti serta menterjemahkan sasaran Pelan Strategik UPM 2026-2030 kepada tindakan yang nyata.
Beliau turut menegaskan bahawa TVET merupakan laluan pembangunan bakat yang relevan serta boleh dimanfaatkan sepanjang zaman selaras dengan keperluan industri yang sentiasa berkembang.
? Platform berita universiti yang memaparkan pencapaian, inovasi dan aktiviti pelajar dengan tepat dan menarik! — CAMPUS NOW, NATION NEXT!
❤️ Like, share & komen sebab di sini suara ?️ korang memang penting! ? Jumpa kami juga di semua platform media sosial kami!!
TikTok: https://www.tiktok.com/@sinarvarsity
FB: https://www.facebook.com/sinarvarsity
IG: https://www.instagram.com/sinarvarsity/
X: https://x.com/sinarvarsity