PENDEDAHAN mengenai dunia kerjaya tidak seharusnya bermula selepas tamat sekolah, sebaliknya perlu dipupuk sejak pelajar berada di bangku menengah rendah bagi membantu mereka mengenal pasti minat, potensi dan hala tuju masa depan.
Atas kesedaran itu, pelajar pascasiswazah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan Forum Kerjaya bertemakan “Pemadanan Personaliti dan Minat Terhadap Realiti Bidang Kerjaya” di Sekolah Menengah Islam Integrasi Puncak Jalil.
Program tersebut melibatkan kira-kira 130 pelajar dan bertujuan memberi pendedahan awal mengenai pelbagai pilihan kerjaya serta kepentingan membuat perancangan pendidikan yang selari dengan minat dan kebolehan diri.
Forum yang dikendalikan oleh kaunselor sekolah, Nurul Syuhada Mohd Nasir itu menampilkan tiga panel jemputan iaitu Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan UKM, Dr Fitri Fareez Ramli, Pengarah Sumber Manusia Think City Sdn Bhd, Melinda Omar dan Jurutera Kanan, Barath Munasamy.
Menurut Nurul Syuhada, pelajar tingkatan satu hingga tiga sedang melalui fasa penting dalam pembentukan karakter, pencarian minat serta pembangunan kemahiran diri.
“Forum ini dekat dengan jiwa pelajar kerana ia membawakan role model sebenar yang mampu menjadi sumber inspirasi kepada mereka.
“Dalam konteks literasi kerjaya, pelajar bukan sahaja perlu mengetahui nama sesuatu pekerjaan, tetapi juga memahami perbezaan antara pekerjaan, bidang kerjaya dan pembangunan kerjaya jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata, pendedahan seperti itu penting supaya pelajar tidak melihat kerjaya semata-mata sebagai usaha mendapatkan pekerjaan, sebaliknya sebagai perjalanan membina kehidupan yang bermakna dan selari dengan nilai serta kekuatan diri.
Sementara itu, Dr Fitri Fareez berkata, minat bukan satu-satunya faktor yang menentukan pemilihan kerjaya seseorang.
Menurutnya, minat terhadap mata pelajaran tertentu juga boleh menjadi petunjuk awal kepada laluan kerjaya yang sesuai untuk diterokai.
“Sebagai contoh, minat terhadap sains dan biologi boleh membuka peluang kepada pelajar untuk meneroka kerjaya sebagai doktor, saintis, penyelidik atau bidang berkaitan kesihatan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelajar menengah rendah masih mempunyai masa untuk menentukan jurusan yang ingin diambil pada masa hadapan.
Namun, katanya, pendedahan awal terhadap pelbagai bidang kerjaya dapat membantu mereka membuat keputusan yang lebih tepat berdasarkan minat, kekuatan dan aspirasi masing-masing.
Program itu turut mencerminkan peranan penting bidang bimbingan dan kaunseling dalam membantu membentuk generasi muda yang lebih bersedia menghadapi cabaran pendidikan serta dunia pekerjaan pada masa hadapan.
Melalui pendedahan awal, bimbingan berterusan dan perkongsian daripada profesional pelbagai bidang, pelajar dapat memahami bahawa kerjaya bukan sekadar destinasi akhir, tetapi satu perjalanan yang membentuk diri, kemahiran dan tujuan hidup.