Pengalaman di AS perkasa keyakinan pelajar Malaysia
- Advertisement / Iklan -
Seramai 23 pelajar Malaysia telah menamatkan program pertukaran selama enam bulan di Amerika Syarikat menerusi Program Pertukaran Belia dan Pengajian Kennedy-Lugar (YES), yang bukan sahaja memberi pendedahan kepada kehidupan pelajar sekolah menengah di negara itu, malah membuka peluang untuk mereka memperkenalkan budaya, masyarakat dan identiti Malaysia kepada komuniti antarabangsa.
BAGI 23 pelajar Malaysia, tempoh enam bulan yang diluangkan di Amerika Syarikat (AS) bukan sekadar program pertukaran biasa, sebaliknya ia merupakan satu perjalanan yang berjaya meluaskan pemikiran, membina keyakinan diri serta memperdalam penghargaan terhadap identiti Malaysia.
Kesemua mereka merupakan peserta Program Pertukaran dan Pengajian Belia Kennedy-Lugar (KL-YES) 2026 yang dikendalikan oleh Yayasan AFS Antarabudaya Malaysia. Program itu membolehkan mereka meluangkan masa selama enam bulan di AS selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kepulangan mereka diraikan dalam satu majlis sambutan di Kuala Lumpur pada Isnin, selepas tamat mengikuti pengajian di sekolah menengah yang berbeza di serata AS sejak Januari lepas.
Majlis itu turut dihadiri Kaunselor Diplomasi Awam Kedutaan AS Morgan O'Brien dan Pengarah Kebangsaan Yayasan AFS Antarabudaya Malaysia Kuhan Kandiah Chelvanathan.
- Advertisement / Iklan -
Kejayaan kumpulan pelajar itu bertambah bermakna apabila tujuh daripada mereka dianugerahkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sekali gus membuktikan impak positif program berkenaan terhadap para peserta.
Bagi Aleeya Qistina Sa'aroni dari Seri Kembangan, Selangor, program itu bermula dengan cabaran luar jangka apabila ribut ais di Tennessee memaksa beliau berkurung di dalam rumah selama dua minggu.
- Advertisement / Iklan -
Bagaimanapun, situasi itu tidak mematahkan semangatnya, malah menjadi ruang untuk beliau membina hubungan erat dengan ibu angkatnya di sana.
"Kami saling berkongsi cerita dan budaya, dan itu menjadikan hubungan kami lebih akrab. Ia juga merupakan pengalaman pertama saya menghadapi ribut ais," katanya.
Aleeya, yang merancang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan profesional menerusi laluan Institut Akauntan Berkanun di England dan Wales (ICAEW), berkata program itu turut memperkukuh cita-citanya untuk bekerja di AS pada masa hadapan.
Sebagai seorang pelajar Muslim bertudung dalam komuniti yang sesetengah penduduknya tidak pernah bertemu dengan orang Islam sebelum ini, beliau pada mulanya berasa gementar. Namun, Aleeya mendapati rakan-rakan sekolahnya sangat menerima kehadirannya dan teruja untuk mempelajari tentang agama serta budayanya.
Aleeya, yang menyertai acara olahraga (balapan dan padang), mengimbau kembali bagaimana rakan sepasukan, jurulatih, malah orang tidak dikenali bersorak menyokongnya ketika beliau berlari menuju ke garisan penamat dalam pertandingan terakhirnya.
Beliau menyifatkan sokongan padu yang diterima itu mencerminkan jalinan persahabatan murni yang dibentuk sepanjang program pertukaran berkenaan, yang tetap berterusan walaupun musim sukan telah berakhir.
Bagi Wong Yu Wei, 18, dari Kuala Terengganu, Terengganu, program itu memberi peluang kepadanya untuk merasai kehidupan di luar Malaysia dan menyesuaikan diri dalam persekitaran keluarga baharu.
Menetap bersama keluarga angkat di Avilla, Indiana, Wong berkata beliau mula mengetahui mengenai program itu melalui taklimat di sekolahnya dan kemudian mendapati dirinya perlu menyesuaikan diri dengan satu peranan baharu di dalam keluarga angkatnya di Amerika.
"Di Malaysia saya adalah anak bongsu, tetapi bersama keluarga angkat di sana, saya menjadi anak sulung. Jadi, ia merupakan satu pengalaman baharu bagi saya untuk menjaga adik-beradik angkat yang lebih muda," katanya.
Tempoh enam bulan itu membantu beliau membina persahabatan baharu dan memperoleh perspektif yang amat berharga.
Wong, yang akan melanjutkan pengajian dalam program asasi sains pertanian di Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata program pertukaran itu turut memberi inspirasi kepadanya untuk mempertimbang bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di AS, khususnya di Indiana.
Sementara itu, Nor Rasya Qistina Roslan dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur, yang turut ditempatkan di Indiana, berkata antara pengalaman paling manis sepanjang program itu adalah berpeluang bertemu dengan pelajar dari pelbagai negara lain.
Rasya, yang bakal meneruskan pengajian di Kolej Matrikulasi Melaka berkata, perbualan mengenai perayaan, agama, bangsa dan budaya telah membuka mindanya untuk memahami sudut pandangan yang berbeza.
"Ia satu pengalaman yang membuka minda kerana saya sedar bahawa manusia boleh mempunyai pengalaman dan pemikiran yang berbeza sama sekali," katanya.
Rasya turut menyertai pasukan tenis sekolah dan kagum dengan semangat keterangkuman serta kerja berpasukan dalam sukan sekolah di AS, yang banyak membantu pelajar membina persahabatan dan menyesuaikan diri dengan kehidupan sekolah.
Majlis sambutan pulang itu turut menyaksikan peranan para pelajar berkenaan sebagai duta budaya muda, apabila mereka mempersembahkan tarian tradisional dengan berpakaian etnik yang mewakili kepelbagaian kaum di Malaysia.
Bagi kebanyakan peserta, program itu bukan sahaja tentang menimba pengalaman hidup di AS, malah ia menjadi platform penting untuk mereka mewakili Malaysia dan berkongsi keindahan budayanya dengan dunia luar. - Bernama
Beliau turut menegaskan bahawa TVET merupakan laluan pembangunan bakat yang relevan serta boleh dimanfaatkan sepanjang zaman selaras dengan keperluan industri yang sentiasa berkembang.
? Platform berita universiti yang memaparkan pencapaian, inovasi dan aktiviti pelajar dengan tepat dan menarik! — CAMPUS NOW, NATION NEXT!
❤️ Like, share & komen sebab di sini suara ?️ korang memang penting! ? Jumpa kami juga di semua platform media sosial kami!!
TikTok: https://www.tiktok.com/@sinarvarsity
FB: https://www.facebook.com/sinarvarsity
IG: https://www.instagram.com/sinarvarsity/
X: https://x.com/sinarvarsity