KOMITMEN Parlimen Mahasiswa UiTM Se-Malaysia 2026 yang berlangsung di Dewan Anjung Seri Budiman, UiTM Shah Alam pada Khamis.
Persidangan julung kali diadakan itu menghimpunkan wakil mahasiswa daripada seluruh kampus cawangan UiTM di seluruh negara bagi membincangkan pelbagai isu kritikal yang melibatkan kebajikan pelajar serta hala tuju komuniti kampus.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Profesor Dr Mohd Afandi Mat Rani yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar).
Dalam ucapan perasmiannya, Mohd Afandi menegaskan bahawa UiTM komited menjadikan Parlimen Mahasiswa UiTM Se-Malaysia sebagai institusi demokrasi kampus yang berterusan bagi memastikan suara mahasiswa sentiasa relevan dan diambil kira dalam agenda pembangunan universiti.
Menurut beliau, persidangan itu diharapkan dapat melahirkan lebih ramai pemimpin mahasiswa yang berintegriti, berwibawa dan bersedia menjadi pemimpin masa depan yang mampu membawa suara masyarakat secara berhemah dan bertanggungjawab.
Turut hadir ialah Penolong Naib Canselor (PNC) MASMED, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar UiTM, barisan dekan, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Timbalan Rektor HEP serta barisan pengurusan tertinggi HEP UiTM.
Persidangan tersebut turut menyaksikan pelantikan rasmi Ilhan Adzlan daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam sebagai Yang Dipertua Dewan yang akan mempengerusikan prosiding dan sesi perbahasan sepanjang persidangan berlangsung.
Penganjuran platform itu bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi medium penting dalam memperkukuhkan landskap kepimpinan mahasiswa dan budaya demokrasi di kampus.
Antara fokus utama persidangan ialah menyediakan saluran demokrasi yang lebih matang dan tersusun untuk mahasiswa menyuarakan pandangan, cadangan serta isu berkaitan kebajikan dan pentadbiran universiti secara konstruktif.
Selain itu, platform berkenaan turut memberi peluang kepada mahasiswa memahami proses perbahasan, pembentangan usul dan penggubalan resolusi seperti yang dilaksanakan di Parlimen sebenar, sekali gus mengasah kemahiran berfikir secara kritis, berhujah dan memahami proses pembentukan dasar.
Persidangan itu juga dilihat mampu menjadi jambatan penghubung antara pelajar dan pengurusan universiti apabila setiap cadangan yang dibahaskan dan dipersetujui akan dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk tindakan susulan.
Pada masa sama, pelbagai isu berkaitan kebajikan pelajar seperti bantuan yuran, kemudahan asrama, fasiliti kampus dan persekitaran pembelajaran dapat dibincangkan secara terbuka dan telus menerusi platform tersebut.