USAHA membudayakan kelestarian dalam kalangan pelajar terus diperkasa oleh Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi pelbagai program yang menggabungkan elemen pendidikan, komuniti, mobiliti antarabangsa dan amalan hijau di kampus.
PPPJJ berkata, inisiatif yang dilaksanakan bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepentingan pembangunan mampan, malah menggalakkan mereka terlibat secara langsung dalam aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.
"Antara program yang menjadi tumpuan ialah Program Mobiliti dan Kursus Musim Panas (Summer Course) hasil kerjasama PPPJJ dengan University of Tasmania, Australia yang melibatkan seramai 40 pelajar dari universiti berkenaan.
"Program itu memberi peluang kepada peserta untuk mendalami amalan kelestarian melalui pengalaman lapangan termasuk penanaman pokok paya bakau di Merbok, Kedah, sesi perkongsian mengenai pembangunan bandar lestari bersama Penang Development Corporation (PDC) serta eksplorasi ekopelancongan di Bukit Bendera," menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, PPPJJ turut aktif melaksanakan pelbagai program komuniti berteraskan kelestarian yang melibatkan pelajar, pensyarah dan masyarakat setempat.
Antaranya termasuk projek penanaman sayur-sayuran bersama pelajar orang kurang upaya di Sekolah Kebangsaan Permatang Damar Laut serta projek penanaman cendawan volvariella bersama komuniti di Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Bagi mengiktiraf usaha warga PPPJJ dalam mempromosikan amalan lestari, pusat pengajian itu turut memperkenalkan Sustainability Excellence Award yang memberi penghargaan kepada pensyarah, pelajar dan kakitangan yang aktif menjayakan inisiatif berkaitan kelestarian.
PPPJJ juga terus memperkukuhkan budaya Pejabat Hijau menerusi pelaksanaan konsep 5R iaitu Refuse, Reduce, Reuse, Repurpose dan Recycle melalui pelbagai program yang melibatkan seluruh warga kampus.
Komitmen berterusan tersebut turut membuahkan hasil apabila PPPJJ dinobatkan sebagai Johan Anugerah Pejabat Lestari USM 2025, sekali gus mengiktiraf kejayaan pusat pengajian itu dalam membudayakan amalan hijau dan menyokong agenda pembangunan mampan.