MINAT dalam dunia perfileman dan penceritaan kreatif kini boleh diterjemahkan ke layar perak apabila IACT College tampil dengan platform khas untuk pembikin filem muda menerusi program Raintown Horizons: The IACT × WCE Student Cinematic Showcase.
Program hasil kerjasama dengan Raintown Film Festival 2026 dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) itu memberi peluang kepada pelajar menghasilkan filem pendek yang mengetengahkan kisah tempatan, budaya serta keunikan rakyat Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Berteraskan tema festival tahun ini, After the Rain, program tersebut mencabar pembikin filem muda Malaysia untuk mengangkat kisah tempatan yang autentik menerusi medium filem sambil meneroka kekayaan budaya, landskap, masyarakat dan pengalaman harian yang membentuk identiti negara.
Inisiatif berkenaan diwujudkan sebagai platform industri sebenar yang menghubungkan pendidikan kreatif, pembikinan filem profesional dan penceritaan Malaysia kontemporari.
Melalui program itu, pelajar dikehendaki menghasilkan dan mempersembahkan filem pendek asli yang diinspirasikan oleh komuniti, budaya, warisan dan hubungan kemanusiaan di Malaysia, di samping mengintegrasikan WCE secara semula jadi dalam naratif mereka.
Berbeza dengan pendekatan penempatan komersial tradisional, WCE akan ditampilkan secara organik dalam penceritaan sebagai simbol pergerakan, hubungan, penemuan dan perjalanan merentasi negara.
Program tersebut turut mencerminkan aliran kerja sebenar industri dengan membimbing pelajar daripada proses pencetusan idea dan penulisan skrip sehingga ke peringkat penggambaran, penyuntingan dan pembentangan akhir.
Bagi memperkukuh nilai industri program ini, wakil WCE dan panel juri profesional daripada Raintown Film Festival akan terlibat secara langsung dalam proses penjurian serta bimbingan.
Penyertaan itu membolehkan pelajar menerima maklum balas profesional yang bernilai serta pendedahan secara langsung mengenai cara hasil kerja kreatif dinilai dalam persekitaran korporat dan industri filem. Ia sekali gus membantu mereka membina portfolio yang lebih kukuh sebelum menamatkan pengajian.
Ketua Pegawai Eksekutif IACT College, Timothy Chan berkata, pihaknya percaya pelajar belajar dengan lebih berkesan melalui pengalaman industri sebenar yang mencabar kreativiti dan profesionalisme mereka.
Menurutnya, program Raintown Horizons memberi peluang kepada pembikin filem muda melaksanakan tugasan kreatif profesional, bekerjasama dengan rakan industri dan menghasilkan karya yang mencerminkan pengalaman autentik rakyat Malaysia.
“Peluang seperti ini penting dalam membantu pelajar menamatkan pengajian dengan portfolio yang lebih mantap, kemahiran praktikal yang lebih baik serta keyakinan dan pendedahan sebenar kepada industri media dan filem,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif West Coast Expressway Sdn Bhd, Lyndon Alfred Felix berkata, kerjasama tersebut bukan sahaja melibatkan aspek keterhubungan, malah pembangunan kreativiti generasi muda.
Beliau berkata, pembikin filem Generasi Z berpotensi menjadi penjaga naratif masa depan Malaysia dengan merakamkan kisah masyarakat, tempat dan pengalaman yang membentuk identiti negara.
“Aspirasi kami adalah untuk melihat inisiatif ini berkembang melangkaui sebuah institusi dan menjadi platform nasional yang mengalu-alukan penyertaan institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Pengasas Raintown Film Festival, Jacky Yeap berkata, festival tersebut sentiasa memberi tumpuan kepada penemuan kisah tempatan yang autentik serta pembangunan bakat kreatif baharu.
Menurutnya, kerjasama dengan IACT College membolehkan pihaknya berhubung secara langsung dengan generasi pembikin filem seterusnya serta menyediakan platform yang bermakna untuk mereka menampilkan karya dan kebolehan penceritaan kepada khalayak lebih luas.
Filem-filem terpilih menerusi program tersebut akan ditayangkan sempena Raintown Film Festival ke-3 pada September 2026.
Tayangan akan berlangsung di beberapa lokasi bersejarah dan komuniti di Taiping termasuk Paragon Cinema (Taiping Mall), Bukit Larut dan Jalan Panggung Wayang.
Diadakan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, festival itu terus meraikan penceritaan serantau, ekspresi kreatif dan kekayaan budaya Malaysia melalui medium sinema.