UNIVERSITI Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berprestasi tinggi apabila menerima Anugerah Kadar Bekerja Terbaik IPTA 2025 yang disampaikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sempena Majlis Anugerah Kebolehpasaran Graduan IPTA 2025.
UPNM dalam kenyataan berkata, pengiktirafan berprestij di peringkat nasional itu membuktikan keberkesanan pendekatan strategik UPNM dalam melahirkan graduan berkualiti, kompeten dan memenuhi keperluan industri serta negara.
"Malah, anugerah berkenaan turut mengangkat reputasi UPNM sebagai antara universiti awam yang berjaya memastikan graduannya memperoleh peluang pekerjaan serta laluan kerjaya yang kukuh selepas menamatkan pengajian.
"Kejayaan tersebut merupakan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan kerjaya, pengukuhan jaringan industri, pemerkasaan kompetensi graduan serta kerjasama erat antara fakulti, pusat tanggungjawab, industri, agensi kerajaan dan rakan strategik universiti," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, UPNM turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga universiti, khususnya Pusat Kaunseling, Kerjaya dan Alumni, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), pasukan Career Coach UPNM, para pensyarah serta Sekretariat Kerjaya Pelajar (GE Avengers UPNM) yang memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda kebolehpasaran graduan universiti.
Menurut UPNM, pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan universiti dalam bidang pendidikan dan pembangunan bakat, malah memperkukuhkan keterlihatan institusi tersebut di peringkat nasional sebagai pusat pengajian tinggi yang berjaya melahirkan graduan berdaya saing, berintegriti dan bersedia menyumbang kepada sektor pertahanan, keselamatan serta pembangunan negara.
"Selaras dengan aspirasi UPNM 30 dan agenda KPT, universiti itu akan terus memperkasa usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan bagi memastikan ia kekal sebagai peneraju dalam melahirkan modal insan berkualiti tinggi untuk masa depan negara, khususnya dalam bidang keselamatan dan pertahanan," katanya.