Nur Aleeya terima katil elektrik, semangat kembali ke kampus terus membara

- Advertisement / Iklan -
Sumbangan wakaf daripada Anissa & Marina Advocates & Solicitors itu disampaikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dalam kunjungan beliau ke kediaman Nur Aleeya. Foto FB UUM
Perkembangan positif kesihatan pelajar cemerlang UUM itu memberi sinar baharu kepada keluarga dan warga kampus yang terus menzahirkan sokongan.

PELAJAR Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Aleeya Khairani yang sedang menjalani proses pemulihan akibat kecederaan saraf tunjang menerima sumbangan katil elektrik bagi membantu meningkatkan keselesaan dan memudahkan urusan penjagaannya di rumah.

Sumbangan wakaf daripada Anissa & Marina Advocates & Solicitors itu disampaikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dalam kunjungan beliau ke kediaman Nur Aleeya di Kampung Kubang Pisang di Pendang pada Ahad.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri serta Dekan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinas (TISSA-UUM), Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd Ali.

Nur Aleeya. Foto FB UUM

- Advertisement / Iklan -

Menurut Ahmad Martadha, pihak universiti akan terus komited memantau perkembangan Nur Aleeya dan memberikan sokongan berterusan kepada beliau serta keluarganya sepanjang proses pemulihan.

"Kami di UUM akan terus komited memantau dan memberi sokongan berterusan kepada Aleeya dan keluarganya.

- Advertisement / Iklan -

"Matlamat kami adalah untuk memastikan proses pemulihannya berjalan lancar sehingga beliau bersedia untuk kembali meneruskan pengajian di kampus," katanya.

Selain penyerahan katil elektrik, pihak universiti turut menyampaikan sumbangan makanan dan barangan keperluan harian bagi membantu meringankan beban keluarga pelajar tersebut.

Nur Aleeya sebelum ini terlibat dalam kemalangan motosikal pada 31 Januari lalu ketika dalam perjalanan pulang ke kampus, yang mengakibatkan kecederaan serius pada saraf tunjang.

Bagaimanapun, pelajar semester lima program Perakaunan itu terus menunjukkan semangat yang tinggi untuk meneruskan pengajian meskipun masih menjalani rawatan dan pemulihan.

Pelajar yang pernah mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 itu dilihat terus menjadikan bahan bacaan sebagai teman sepanjang tempoh pemulihan, selain menanam tekad untuk kembali ke kampus dan menamatkan pengajian seperti yang diimpikan.

Dalam kunjungan tersebut, Nur Aleeya dan keluarganya turut berkongsi perkembangan positif keadaan kesihatan beliau yang semakin menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.

Perkembangan itu memberi sinar baharu kepada keluarga serta warga UUM yang sentiasa mengikuti perkembangan pelajar berkenaan sejak insiden yang menimpanya awal tahun ini.

Sumber: FB UUM