UUM, TYMBA meterai MoU bantu pelajar asnaf jadi akauntan bertauliah

- Advertisement / Iklan -
MoU itu juga antara lain bertujuan meruntuhkan tembok kekangan kewangan yang sering menjadi penghalang utama pelajar kurang berkemampuan untuk mengambil lesen profesional.

UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) dan TYMBA Education Group (TYMBA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membantu pelajar asnaf dan golongan B40 universiti itu untuk menjadi akauntan bertauliah.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, MoU itu juga antara lain bertujuan meruntuhkan tembok kekangan kewangan yang sering menjadi penghalang utama pelajar kurang berkemampuan untuk mengambil lesen profesional.

"MoU ini bakal menyaksikan integrasi strategik dalam menyediakan platform latihan dan peperiksaan badan profesional terkemuka dunia seperti ACCA (Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun), MICPA (Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia), ICAEW (Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales) atau CIMA (Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah).

"Kolaborasi ini adalah bukti komitmen universiti dalam melonjakkan kebolehpasaran graduan, khususnya menerusi Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) yang sememangnya diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata, pihaknya memahami kos peperiksaan profesional adalah tinggi dan ia sering menjadi kekangan buat pelajar asnaf dan B40.

"Oleh itu, universiti sedang meneliti mekanisme penajaan yang inklusif, termasuk menyalurkan dana zakat bagi membiayai lesen profesional mereka. Kita mahu memastikan kekangan wang tidak lagi menjadi alasan untuk mereka gagal bersaing dalam pasaran kerja yang kompetitif.

- Advertisement / Iklan -

"Langkah ini juga dilihat sebagai sokongan padu UUM terhadap aspirasi negara yang meletakkan sasaran untuk melahirkan 60,000 akauntan profesional pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TYMBA Education Group, Airil Razali berkata, pemeteraian MoU itu adalah kesinambungan kepada hubungan kerjasama yang telah terjalin antara TYMBA dan TISSA-UUM sejak hampir setahun lepas.

"TYMBA merupakan pusat pendidikan perakaunan profesional global komited membantu pelajar perakaunan dari peringkat awal pengajian di universiti sehingga melangkah ke alam pekerjaan, khususnya golongan asnaf dan bumiputera B40.

"Kita bersedia menawarkan pelbagai bentuk tajaan dan sokongan kepada pelajar bagi memastikan mereka bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian, malah mampu memperoleh kelayakan profesional dan seterusnya menjadi akauntan bertauliah yang memenuhi keperluan industri,” katanya.

Beliau berkata, matlamat pihaknya adalah untuk membantu dan membimbing pelajar perakaunan dari peringkat universiti sehingga mereka berjaya membina kerjaya dalam industri serta menjadi akauntan bertauliah dan profesional yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara. - Bernama