Penyelidik UKM terbit kajian bioteknologi di jurnal antarabangsa terkemuka

- Advertisement / Iklan -
Ahmad Bazli (dua dari kanan) ketika lawatan INBIOSIS dan pasukam penyelidik Korea Advanced Institute of Science and Technology di KRIBB National Biofundry, Korea Selatan.

PENYELIDIK Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ahmad Bazli Ramzi dari Institut Biologi Sistem (INBIOSIS) menerbitkan artikel dalam jurnal berprestij dunia, Nature Biotechnology yang berada di kedudukan nombor satu dunia dalam bidang bioteknologi.

Penerbitan bertajuk A framework for building a synthetic cell from the SynCell Asia Initiative itu diterbitkan pada 26 Mei 2026 melalui kerjasama penyelidik dari Malaysia, China, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Thailand.

Kajian tersebut mengetengahkan pembangunan teknologi sel buatan atau synthetic cell yang berpotensi membantu penyelidikan dalam bidang kesihatan, makanan, alam sekitar dan bioteknologi pada masa hadapan.

Menurut Ahmad Bazli, penerbitan tersebut menggariskan pelan hala tuju 10 tahun SynCell Asia Initiative dalam membangunkan sel buatan menggunakan teknologi terkehadapan dalam bidang Sel dan Biologi Sintetik.

- Advertisement / Iklan -

“Penerbitan hasil konsortium antarabangsa yang diterajui oleh saintis-saintis daripada SynCell Asia Initiative dan Asian Synthetic Biology Association (ASBA) ini mempelopori model baharu bagi kolaborasi rentas sempadan, infrastruktur gunasama dan penggunaan standard terbuka.

“Berbanding dengan pendekatan sedia ada dari konsortium Sel Sintetik di US dan Eropah, rangka kerja SynCell Asia Initiative ini melibatkan penggunaan biofoundry iaitu infrastruktur automatik dan bersepadu, antara ahli konsortium bagi pembangunan sel buatan secara bersepadu, seragam dan berpandukan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Tambahnya, INBIOSIS turut menempatkan UKM Biofoundry dan infrastruktur analisis biologi sistem dan bioinformatik yang penting dalam menjalankan kajian bioteknologi moden berpandukan AI masa kini.

“Melalui UKM Biofoundry, pembabitan kumpulan penyelidikan tempatan dalam penyelidikan berimpak tinggi ini dijangka menyemarakkan pemajuan bidang-bidang transformatif seperti perubatan jitu, biopembuatan dan bio-automasi,” katanya.

Ahmad Bazli berkata, penglibatan tersebut turut menunjukkan bahawa kepakaran penyelidik Malaysia mampu menyumbang dalam inisiatif penyelidikan terkehadapan bertaraf global.

“Penglibatan UKM dalam inisiatif ini membolehkan penyelidik tempatan untuk bekerjasama secara langsung dengan rangkaian saintis antarabangsa dalam membangunkan teknologi biologi generasi baharu,” katanya