BAGAIMANA rasanya membaca tanpa melihat? Persoalan itu dijawab menerusi program Touch2Read: Delves into the Braille World yang memberi peluang kepada peserta merasai sendiri pengalaman membaca dan menulis Braille serta mengenali dunia pembelajaran taktil yang digunakan oleh komuniti blind and visually impaired (BVI).
Program yang berlangsung di Kulliyyah of Engineering, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 23 Mei lalu itu menghimpunkan 25 peserta daripada pelbagai latar belakang dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan akses pendidikan yang inklusif.
Lebih menarik, peserta bukan sahaja mempelajari teori, malah berpeluang merasai sendiri pengalaman membaca dan menulis Braille menerusi aktiviti interaktif yang dikendalikan oleh mahasiswa.
Sesi kali ini turut memberi peluang kepada ahli jawatankuasa Touch2Read untuk berperanan sebagai fasilitator dan jurulatih dalam membimbing peserta memahami kaedah membaca serta menulis Braille, di samping memperkenalkan fungsi bahan taktil dalam menyokong proses pembelajaran mahasiswa BVI.
Peserta turut diperkenalkan kepada konsep grafik taktil, iaitu bahan pembelajaran berasaskan sentuhan yang digunakan bagi menggantikan elemen visual seperti gambar rajah, bentuk dan susunan ruang dalam sesuatu topik pembelajaran.
Menurut Pengurus Program, Sr. Nur Nabihah Sapri, program berkenaan dianjurkan bagi meningkatkan kefahaman peserta mengenai kepentingan akses kepada bahan pembelajaran yang inklusif.
“Program ini bukan sahaja memperkenalkan Braille kepada peserta, malah memberi pengalaman secara langsung supaya mereka lebih memahami keperluan komuniti BVI dalam mengakses maklumat dan pembelajaran,” katanya.
Program tersebut turut mendapat bimbingan daripada penasihat program dan pengasas Touch2Read UIAM, Dr. Atiah Abdullah Sidek yang menekankan kepentingan pendedahan awal dalam membentuk kesedaran, kemahiran serta kepekaan mahasiswa terhadap keperluan komuniti BVI.
Melalui pengalaman pembelajaran secara langsung, peserta bukan sahaja memperoleh kemahiran baharu, malah dapat memahami cabaran yang dihadapi komuniti BVI dalam mengakses bahan bacaan dan pembelajaran, khususnya dalam bidang yang banyak bergantung kepada elemen visual.
Penganjuran program itu mencerminkan komitmen berterusan Touch2Read dalam memperkukuh budaya inklusiviti dalam kalangan mahasiswa, staf dan masyarakat umum.
Selain menjadi platform kesedaran, program berkenaan turut membuka ruang pembangunan kapasiti belia apabila mahasiswa bukan sahaja bertindak sebagai peserta, malah berperanan sebagai penggerak, pembimbing dan penyampai ilmu kepada komuniti.
Touch2Read merupakan inisiatif yang memfokuskan kepada literasi Braille, pembelajaran taktil dan kesedaran inklusif dengan sokongan pelbagai pihak termasuk UIAM, Mahallah Aminah, Mahallah Asiah, AMTech, Disability Services Unit, KL Braille Resources, UNESCO dan Bank Islam.
Melalui program seumpama ini, Touch2Read terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh budaya kampus yang lebih prihatin, inklusif dan peka terhadap keperluan komuniti BVI.