UPNM perkukuh hubungan komuniti melalui Program Bakti Siswa Aidiladha

- Advertisement / Iklan -
Persatuan Penduduk Kariah Seksyen 8 Bangi dan Surau Ar Rahim menyambut baik kehadiran para pelajar serta menghargai semangat kerjasama.

UNIVERSITI Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terus memperkukuhkan hubungan dengan komuniti menerusi penganjuran Program Bakti Siswa Qurban Aidiladha yang melibatkan seramai 13 mahasiswa bersama penduduk kariah Seksyen 8, Bangi selama dua hari sempena sambutan Aidiladha.

Program berkenaan menghimpunkan pelajar-pelajar yang tidak pulang ke kampung bagi memberi peluang kepada mereka meraikan Aidiladha bersama masyarakat setempat sambil menyumbang khidmat bakti kepada komuniti.

Sepanjang program berlangsung, para peserta terlibat secara aktif dalam pelbagai pengisian termasuk Majlis Iftar Puasa Arafah, Solat Sunat Aidiladha, gotong-royong ibadah korban, aktiviti memasak serta majlis kenduri bersama penduduk.

Inisiatif yang digerakkan oleh Pusat Kaunseling Kerjaya dan Alumni JHEPA UPNM bersama mahasiswa UPNM itu mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan kepimpinan, malah memiliki nilai kesukarelawanan serta semangat kebersamaan dengan masyarakat.

- Advertisement / Iklan -

Menurut wakil penganjur, program seperti ini bukan sahaja membantu melancarkan urusan ibadah korban dan kenduri komuniti, malah menjadi platform terbaik untuk memperkukuhkan hubungan silaturahim antara warga universiti dan masyarakat setempat.

“Program ini memberi ruang kepada mahasiswa untuk mendekati masyarakat sambil memupuk nilai empati, kerjasama dan semangat kesukarelawanan dalam diri pelajar,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Selain itu, program berkenaan turut meningkatkan keterlibatan sosial mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan serta memberi pengalaman bermakna kepada pelajar yang menyambut Aidiladha jauh daripada keluarga.

Sementara itu, Persatuan Penduduk Kariah Seksyen 8 Bangi dan Surau Ar Rahim menyambut baik kehadiran para pelajar serta menghargai semangat kerjasama yang ditunjukkan sepanjang program berlangsung.