Bukan sekadar jawatan, Presiden KMUKM dinobat Tokoh Siswa UKM 2025

- Advertisement / Iklan -
Muhammad Haikal Hamidi (tiga dari kanan), menerima piala dan cek cura yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman (tiga kiri).
Aktif memimpin pelbagai organisasi mahasiswa, Muhammad Haikal Hamidi buktikan kepimpinan kampus bukan tentang populariti tetapi keberanian membawa suara mahasiswa dan mencipta perubahan

BILA bercakap tentang kehidupan mahasiswa, ramai bayangkan kelas, assignment dan exam semata-mata.

Tapi bagi Muhammad Haikal Hamidi, dunia universiti adalah ruang untuk belajar menjadi manusia yang mampu memimpin, mendengar dan membawa perubahan.

Pelajar Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu diumumkan sebagai Tokoh Siswa UKM 2025 dalam Majlis Anugerah Tokoh Siswa UKM 2025 di Bangi, sekali gus meletakkan namanya sebagai antara figura kepimpinan mahasiswa paling menyerlah di universiti berkenaan.

Muhammad Haikal yang juga Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) sesi 2025/2026 dipilih berdasarkan kecemerlangannya dalam kepimpinan, penglibatan organisasi, keterlihatan mahasiswa dan sumbangan berterusan kepada komuniti kampus serta masyarakat.

- Advertisement / Iklan -

Namun bagi beliau, gelaran itu bukan tentang populariti atau kedudukan.

“Anugerah ini bukan sekadar kemenangan peribadi, tetapi satu amanah besar untuk saya terus berkhidmat kepada mahasiswa.

- Advertisement / Iklan -

“Kepimpinan bukan hanya tentang jawatan atau kedudukan, tetapi tentang keberanian untuk mendengar, memahami dan menyelesaikan isu yang dekat dengan kehidupan pelajar,” katanya.

Di sebalik pencapaian itu, Muhammad Haikal sebenarnya aktif memegang pelbagai peranan penting dalam dunia mahasiswa.

Antara pemenang Anugerah Tokok Siswa UKM 2025 bergambar bersama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman (belakang tengah) dan Naib Canselor, Prof Dato’ Dr Sufian Jusoh (belakang dua kanan) pada Majlis Anugerah Tokok Siswa UKM 2025.

Selain menerajui KMUKM, beliau juga merupakan Ketua Eksekutif Kolej Pendeta Za’aba 2024/2025, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) UKM 2025/2026, Ketua Pemudah Cara Minggu Mesra Mahasiswa 2025/2026 serta Biro Kebajikan Majlis Persatuan Pelajar Kebangsaan 2025/2026.

Lebih membanggakan, beliau turut mewakili UKM dan Malaysia ke Global Student Leadership Summit 2026, membuktikan mahasiswa tempatan juga mampu membawa suara dan imej kepimpinan negara ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, pengalaman memimpin pelbagai organisasi banyak mengajar dirinya tentang makna sebenar kepimpinan yang berpaksikan empati dan tanggungjawab sosial.

“Saya percaya setiap mahasiswa mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin.

"Yang penting, kita berani melangkah, berani memikul amanah dan tidak melihat kepimpinan sebagai keistimewaan, tetapi sebagai ruang untuk memberi manfaat kepada orang lain,” ujarnya.

Majlis bertemakan 'Songket dan Tradisi' itu turut menyaksikan dua mahasiswa orang kurang upaya (OKU) menerima pengiktirafan khas.

Muhammad Nur Amjadh Asabdeen dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) menerima Anugerah Tokoh Inklusif Siswa, manakala Tan Guan You dari Fakulti Undang-Undang (FUU) menerima Anugerah Tokoh Tengku Ampuan Afzan.

Pengiktirafan tersebut bukan sekadar meraikan kejayaan akademik, tetapi menjadi simbol bahawa mahasiswa dengan cabaran berbeza juga mampu berdiri sama tinggi dan menyerlah dengan cara tersendiri.

Dalam masa yang sama, ia memperlihatkan komitmen UKM untuk terus membina ekosistem kampus yang lebih inklusif dan memberi ruang kepada semua pelajar berkembang berdasarkan potensi masing-masing.

Sementara itu, Pengarah Program Anugerah Tokoh Siswa UKM 2025 merangkap Timbalan Pengarah Kepimpinan, Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM, Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham berkata, anugerah tersebut diwujudkan bagi mengiktiraf kemenjadian mahasiswa secara menyeluruh, bukan sekadar berdasarkan jawatan yang disandang.

“Penjurian Anugerah Tokoh Siswa UKM 2025 dilaksanakan secara holistik dengan mengambil kira peranan, impak, kepimpinan, pengiktirafan, keberkesanan penganjuran program, keupayaan membina jaringan, penjanaan dana serta keterlihatan mahasiswa di pelbagai peringkat,” katanya.

Tambah beliau, pihak universiti mahu melahirkan mahasiswa yang bukan hanya aktif di atas kertas, tetapi benar-benar mampu menggerakkan pasukan, membina jaringan dan mencipta perubahan dalam komuniti.

Sebanyak 22 anugerah dipertandingkan dalam edisi kali ini melibatkan empat anugerah utama, empat kategori berkumpulan dan 18 kategori individu.