KETIKA ramai mahasiswa bergelut dengan kos sara hidup dan isu penempatan, Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) mengambil langkah berani apabila mengurangkan peruntukan manifesto kepimpinan demi menyalurkan lebih banyak bantuan terus kepada pelajar yang memerlukan.
Menerusi inisiatif tersebut, peruntukan manifesto setiap portfolio dikurangkan daripada RM3,000 kepada RM1,500 sekali gus membolehkan hampir RM60,000 dikumpulkan bagi memperkukuh agenda kebajikan dan pembangunan mahasiswa di UKM.
Antara bantuan yang diperkenalkan ialah bantuan one-off rumah sewa sebanyak RM20,000 kepada mahasiswa yang memerlukan, bantuan asas rumah sewa berjumlah RM5,000 serta Insentif Perkasa KITA Siswa bernilai RM35,000.
Insentif Perkasa KITA Siswa memberi fokus kepada sembilan domain pembangunan mahasiswa melibatkan aspek sukan, kesukarelawanan, kebajikan, kerohanian, keusahawanan, kebudayaan, inovasi, perpaduan dan kepimpinan.
Presiden KMUKM sesi 2025/2026, Muhammad Haikal Hamidi berkata, inisiatif tersebut diperkenalkan sebagai respons terhadap cabaran kos sara hidup dan isu penempatan yang semakin dirasai mahasiswa ketika ini.
“KMUKM melihat keperluan untuk memastikan kebajikan mahasiswa terus diberi perhatian, khususnya bagi pelajar yang berdepan kekangan kewangan dan perlu menyewa di luar kampus.
“Pengurangan dana manifesto ini dibuat bagi membolehkan lebihan dana dimanfaatkan secara terus kepada mahasiswa,” katanya.
Menurut beliau, KMUKM turut menggerakkan inisiatif 'Menu Kasih Siswa' bersama pengusaha kafeteria di UKM bagi menyediakan pilihan makanan pada kadar harga lebih minimum dan mesra mahasiswa.
Selain itu, KMUKM juga bekerjasama dengan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UKM dalam membantu menjayakan projek Dapur Siswa bagi menyediakan ruang memasak yang lebih selesa kepada mahasiswa.
Usaha itu turut melibatkan penyediaan bahan mentah asas kepada pelajar tertentu yang memerlukan sebagai langkah membantu meringankan beban kos sara hidup mahasiswa.
Sementara itu, Penasihat KMUKM merangkap Timbalan Pengarah Kepimpinan Hal Ehwal Pelajar UKM, Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham menyifatkan pendekatan tersebut sebagai manifestasi kepimpinan mahasiswa yang matang, prihatin dan berpaksikan nilai kemanusiaan.
“Pendekatan ini menunjukkan mahasiswa bukan sahaja membawa idea dan suara mahasiswa, tetapi turut memainkan peranan aktif dalam membantu rakan-rakan yang memerlukan.
“Inisiatif seperti bantuan rumah sewa, Menu Kasih Siswa dan Dapur Siswa mencerminkan budaya kebersamaan dan kesejahteraan yang perlu terus diperkukuh dalam ekosistem kampus,” katanya.
Beliau berkata, usaha tersebut juga selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai ihsan, kesejahteraan dan tanggungjawab sosial dalam pembangunan masyarakat berilmu serta berdaya saing.