SPACE@MC UiTM: Kelas ‘future ready’ buat pelajar komunikasi

- Advertisement / Iklan -
FKPM UiTM tampil dengan ruang pembelajaran pintar berteknologi moden bagi melahirkan graduan komunikasi dan media yang lebih kompeten, kreatif serta bersedia menghadapi kehendak industri masa depan

KALAU dulu bilik kuliah sekadar ada projektor dan whiteboard, kini Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) tampil selangkah ke hadapan menerusi SPACE@MC (Smart Platform for Advanced Communication Education), ruang pembelajaran pintar yang lebih moden, interaktif dan ‘future-ready’.

Kemudahan baharu itu bakal memberi pengalaman pembelajaran lebih fleksibel dan imersif kepada pelajar, selari dengan perkembangan dunia komunikasi dan media digital yang semakin pantas berubah.

Majlis penyerahan rasmi projek yang berlangsung pada Selasa, telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UiTM, Profesor Ts. Sr Dr. Md Yusof Hamid.

Beliau menyerahkan replika kunci kepada Dekan FKPM, Profesor Dr. Abd. Rasid Abd. Rahman sebagai simbolik penyerahan kemudahan baharu yang bakal dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga fakulti, khususnya para pelajar dan pensyarah.

- Advertisement / Iklan -

Md Yusof (tiga dari kanan) menyerahkan replika kunci kepada Abd. Rasid pada majlis penyerahan rasmi projek Smart Classroom SPACE@MC di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam, pada Selasa.

Projek yang diuruskan oleh Pejabat Pembangunan UiTM itu melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM286,898 dan menjadi antara usaha berterusan universiti dalam memperkasa infrastruktur pendidikan sejajar dengan pembelajaran abad ke-21.

- Advertisement / Iklan -

Direka sebagai ruang pembelajaran pintar, SPACE@MC dilengkapi kemudahan teknologi moden dan mampu menempatkan sehingga 22 pengguna dalam satu-satu masa.

Kemudahan tersebut dijangka dapat mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih fleksibel, kolaboratif serta imersif, sekali gus menyokong pendekatan pedagogi yang lebih kreatif dan relevan dengan kehendak industri komunikasi dan media yang sentiasa berkembang.

Menurut Abd. Rasid, penambahbaikan fasiliti serta infrastruktur pendidikan perlu dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan pengalaman pembelajaran yang ditawarkan sentiasa relevan dan memenuhi keperluan semasa.

“Dalam landskap pendidikan tinggi yang sentiasa berubah, penambahbaikan fasiliti dan infrastruktur bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan.

“FKPM komited memastikan warga fakulti, khususnya para pelajar dan pensyarah, mempunyai akses kepada ruang pembelajaran yang menyokong pengajaran dan pembelajaran lebih efektif, interaktif serta selari dengan perkembangan industri komunikasi dan media global,” katanya.

Beliau berkata, SPACE@MC bukan sekadar ruang fizikal baharu, sebaliknya merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan dan pengukuhan pembelajaran berasaskan teknologi.

“FKPM akan menggunakan kemudahan ini sebaik mungkin untuk melahirkan lebih ramai graduan yang kompeten, adaptif, celik teknologi dan berdaya saing tinggi bagi memenuhi keperluan industri pada masa hadapan,” ujarnya.

SPACE@MC dijadual mula digunakan sepenuhnya pada Sesi Pengajian September 2026 sebagai sebahagian daripada aspirasi FKPM untuk terus menyediakan persekitaran pembelajaran yang progresif, inovatif dan menyokong kecemerlangan akademik.