“KALAU nak berjaya, kena sanggup kurangkan gangguan dan kekal fokus dengan matlamat.”
Itu pegangan penerima Anugerah Pingat Emas Canselor pada Majlis Konvokesyen Management & Science University (MSU) ke-37, Nur Desslinna Cheah Mohd Ridzuan Cheah, 24, yang mengakui disiplin diri dan konsisten dalam ulang kaji menjadi antara kunci utama kejayaannya menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL).
Menurut Nur Desslinna, dia akan memberi fokus penuh terhadap persediaan peperiksaan terutama dua minggu sebelum ujian dengan mengurangkan aktiviti hiburan bagi memastikan tumpuan tidak terganggu.
“Saya akan kurangkan aktiviti hiburan seperti mendengar muzik dan menonton televisyen supaya lebih fokus. Selain itu, saya dan rakan-rakan juga sering mendoakan kejayaan antara satu sama lain sebelum peperiksaan,” katanya.
Berkongsi perjalanan sepanjang bergelar mahasiswa, Nur Desslinna mengakui laluan menamatkan pengajian bukan sesuatu yang mudah, terutama apabila perlu menyesuaikan diri dengan tahap pembelajaran yang lebih mencabar selepas diploma.
Katanya, ada ketika dia berdepan tekanan untuk mengikuti silibus pengajian yang semakin sukar, namun memilih untuk menjadikan cabaran tersebut sebagai pembakar semangat.
“Memang ada fasa rasa sukar untuk menyesuaikan diri dengan silibus yang lebih mencabar, tetapi saya anggap itu satu proses pembelajaran.
“Syukur akhirnya berjaya tamatkan pengajian, apatah lagi apabila menerima anugerah ini memberi semangat untuk terus berjaya di masa depan,” ujarnya.
Lebih manis, kejayaan itu turut diraikan bersama kakaknya, Nur Dearrinna Cheah, 26, yang menamatkan pengajian dalam bidang Sijil Pembuatan Roti.