USAHA memperkasa komuniti Orang Asli melalui teknologi digital terus diperkukuh menerusi penganjuran Program Komuniti: Pemerkasaan Rantaian Bekalan Digital Orang Asli di RPS Kemar, Gerik, Perak.
Program tersebut merupakan inisiatif Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Fakulti Pengurusan Perniagaan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Mara Liner.
Diadakan di Dewan Orang Ramai RPS Kemar, program itu memberi fokus kepada pemindahan ilmu berkaitan penggunaan teknologi digital dalam pengurusan rantaian bekalan hasil tani komuniti Orang Asli.
Inisiatif tersebut memberi peluang kepada peserta untuk memahami bagaimana teknologi boleh membantu pengurusan hasil tani menjadi lebih sistematik, cekap dan berdaya saing.
Program itu diketuai Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam di bawah pimpinan Ts. Dr. Siti Norida Wahab.
Dalam masa sama, program berkenaan turut mendapat sokongan penuh daripada Pengarah Jakoa Negeri Perak dan Kedah, Harulnizam Abdul Rahman serta Ketua Pegawai Eksekutif Mara Liner, Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan.
Menariknya, peserta bukan sahaja didedahkan kepada kepentingan pendigitalan dalam pengurusan hasil tani, malah turut diberi penerangan berkaitan pengurusan maklumat, penyelarasan bekalan, perancangan pengeluaran dan potensi pemasaran yang lebih luas.
Pendekatan rantaian bekalan digital itu dilihat mampu membantu komuniti Orang Asli menguruskan hasil tani dengan lebih tersusun selain membuka peluang meningkatkan nilai ekonomi produk tempatan.
Malah, penggunaan teknologi juga berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada kaedah tradisional sekali gus meningkatkan daya saing komuniti dalam sektor pertanian.
Program tersebut menerima sambutan positif daripada komuniti Orang Asli di RPS Kemar dengan penglibatan aktif peserta sepanjang aktiviti dijalankan.
Ia sekali gus menunjukkan keterbukaan komuniti setempat untuk menerima pendekatan baharu yang mampu membantu meningkatkan taraf ekonomi dan pengurusan hasil tani mereka.
Selain itu, program berkenaan turut dilihat selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 menerusi agenda pendigitalan, pembangunan komuniti luar bandar dan pemerkasaan ekonomi masyarakat secara inklusif.
Kerjasama strategik antara UiTM, Jakoa dan Mara Liner itu diharapkan dapat diteruskan menerusi lebih banyak program berimpak tinggi pada masa hadapan demi memperkukuh pembangunan ekonomi komuniti Orang Asli secara mampan.